Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mahkamah Khas Bicara Kes Dadah – TPM

Mahkamah Khas Bicara Kes Dadah – TPM

mh online

Sebuah mahkamah khas bagi membicarakan kes berkaitan dadah akan diwujudkan secara berperingkat di seluruh negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata ia berikutan permintaan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkilan ekoran terdapat kes reman yang tidak dapat diselesaikan perbicaraannya di mahkamah.

Ini sekaligus menjadikan kes tertunggak yang cukup banyak, katanya.

“Oleh sebab itu pencambahan pemikiran yang dilakukan oleh AADK telah mendapat desakan-desakan supaya mahkamah khas untuk tangani kes-kes dadah ini diwujudkan,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Terdahulu beliau menghadiri sesi Percambahan Pemikiran Mengenai Permasalahan Dadah selama kira-kira satu jam yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri dan wakil NGO.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata hasil sesi pencambahan pemikiran yang diadakan itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri sebagai kertas memorandum yang antara lain berkaitan penguatkuasaan, pemulihan dan pembanterasan dadah dalam jangka panjang.

“Yang penting komitmen semua pihak sebagaimana yang telah berlaku selama ini terutama daripada badan NGO. Malah pendekatan pemulihan yang baharu termasuklah dengan menekankan soal keagamaan dan kerohanian dan diharap ‘will power’ yang kuat untuk penagih berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, semua agensi penguatkuasaan terutamanya PDRM, Kastam dan agensi lain akan terus mempergiatkan penguatkuasaan mereka.

Ahmad Zahid turut memuji kejayaan unit khas STING (Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik) dari Bukit Aman yang melakukan tidak kurang 26,000 tangkapan dengan jumlah rampasan melebihi RM500 juta tahun lepas.

“Ini adalah kejayaan hasil kebersamaan pelbagai agensi penguatkuasaan, kementerian dan jabatan yang terlibat dalam pembanterasan dadah,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, selain Malaysia, negara anggota ASEAN turut komited dalam usaha memastikan negara sifar dadah.

Dalam sidang media sama, Mohamad Apandi berkata Kuala Lumpur dan Shah Alam adalah antara lokasi awal penubuhan mahkamah khas dadah untuk menangani kes tertunggak.

“Ia hasil daripada perbualan telefon saya dengan Ketua Hakim Negara (Tun Arifin Zakaria). Kuala Lumpur dengan Shah Alam, bilangan kes tertunggak itu banyak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid, ketika mengulas cadangan Ketua Polis Negara untuk menaikkan kadar kompaun saman ekoran statistik kemalangan yang masih tinggi, berkata cadangan tersebut belum dimuktamadkan.

“Pandangan itu disebabkan oleh rasa kekecewaan (apabila) denda dan hukuman tidak memberi kesan, maka ia (cadangan itu) menimbulkan reaksi. Saya minta masyarakat beri pandangan yang terbaik yang harus dilakukan.

“Jangan hanya komen apa sahaja apa yang IGP nyatakan tapi beri pandangan supaya tidak banyak kemalangan maut, kadar kemalangan dapat diturunkan, dan penguatkuasaan tidak menyusahkan…sebaliknya kesedaran dalaman itu dipertingkatkan,” katanya.

Rabu lepas, Khalid dilaporkan meluahkan kekecewaan terhadap statistik kemalangan yang masih tinggi, dan mencadangkan agar jumlah kompaun maksimum dinaikkan sebagai antara inisiatif mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Menurut Khalid, ia bagi mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dalam pemanduan kerana mereka masih dilihat penyumbang utama kepada kemalangan.

Leave a Reply

Top