Setakat Februari lepas, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) membelanjakan RM94 juta bagi menampung kos kerja baik pulih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), menurut Kementerian Pengangkutan.

Kementerian tersebut melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat memberitahu, kerja baik pulih itu melibatkan kawasan parkir kapal terbang di klia2 yang terjejas akibat mendap takungan air.

“Ia akan dilaksanakan dari semasa ke semasa sehingga mendapan tersebut mencapai tahap stabil,” menurut kementerian itu.

Kementerian berkenaan menjawab pertanyaan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) mengenai status kerja baik pulih kawasan parkir kapal terbang di klia2 serta tindakan terhadap kontraktor asal yang didakwa gagal menjalankan kerja baik pulih tersebut.

Menurut kementerian itu, pembinaan klia2 oleh kontraktor adalah berasaskan reka bentuk juru perunding yang dilantik dengan memenuhi segala keperluan reka bentuk semasa pembinaan, namun tempoh tanggungan kecacatan telah tamat.

Oleh itu, MAHB sedang mengkaji sama ada perunding menjalankan tanggungjawab dengan betul atau sebaliknya ketika ia merancang dan merangka pelan reka bentuk dengan mengambil kira faktor mendapan semasa kerja tanah dijalankan.

“Sekiranya terdapat sebarang kecuaian, MAHB akan mengambil tindakan ke atas juru perunding tersebut berdasarkan terma dan syarat pelantikan juru perunding terbabit,” menurut Kementerian Pengangkutan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *