Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mahathir Seorang Diktator?

Mahathir Seorang Diktator?

Oleh ; Zabidi Haji Saidi

Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Shah Alam minggu lalu membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang diktator.

Berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Shah Alam, Najib mendedahkan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Ketua Pemuda Umno Malaysia ketika itu ditahan di bawah ISA selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno.

Kata Najib, Mahathir hantar SB temui Zahid dan jika beliau nak keluar segera dari tahanan ISA beliau hendaklah tandatangan surat setuju letak jawatan Ketua Pemuda secara sukarela. Maka Zahid tiada pilihan terpaksa melepaskan jawatan dan beri laluan kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein memangku jawatan ketua pemuda.

Zahid berundur setapak dan bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada tahun 2000 dan 2004.  Beliau berjaya menjadi Naib Presiden Umno sebanyak dua kali pada pemilihan 2008 dan 2013. Apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015, Najib melantik Zahid sebagai TPM dan menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno.

Paksaan Mahathir kepada Zahid melepaskan jawatan Ketua Pemuda yang dimenangi pada tahun 1996 dalam pertandingan empat penjuru mengalahkan Tan Sri Rahim Thamby Chik, Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Annuar Musa membuktikan bahawa Mahathir adalah seorang diktator.

Mahathir menyalahgunakan ISA untuk menahan musuh politiknya walaupun musuhnya itu berada dalam satu parti. Mahathir memang tak suka orang yang berbeza pendapat dengannya. Zahid terlalu lantang menggunakan isu kronisme dan nepotisme yang diamalkan oleh Mahathir. Maka ISA digunakan untuk menahan Zahid.

Mahathir seorang yang mementingkan diri sendiri. Apabila Tun Hussein Onn yang mahu bersara memanggil Mahathir untuk melantik Naib Presiden Umno yang senior, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai timbalannya, sebaliknya Mahathir menaja Tun Musa Hitam menentang Ku Li untuk jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 1981.

Tindakan Mahathir ini menyebabkan akhirnya Umno pecah dua apabila Ku Li bergabung dengan Musa menentang Mahathir dan Ghafar Baba pada pemilihan Umno 1987. Akhirnya Mahathir rela Umno diharamkan oleh mahkamah kerana enggan mengadakan semula pemilihan Umno yang menyebabkan Mahathir menubuhkan Umno baru pada tahun 1988.

Kini Mahathir bersama Pakatan Harapan mahu menumbangkan Umno yang ditubuhkannya 29 tahun lalu. Semuanya berpunca kerana anaknya Datuk Seri Mukhriz kalah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 2013. Jika Mukhriz menang sudah tentu Mahathir tidak meroyan seperti sekarang.

Oleh itu perjuangan Mahathir bukannya mahu menyelamatkan Malaysia tetapi mahu menyelamatkan dinastinya yang kini terpinggir. Takkanlah Anwar mahu ditipu kali kedua oleh Mahathir? Dahulu orang Mahathir yang buat konspirasi menjatuhkan Anwar dari jawatan TPM.

Leave a Reply

Top