KUALA LUMPUR, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah semata-mata alat untuk DAP memecahkan undi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata memperalatkan Dr Mahathir untuk memecahkan pengundi Melayu adalah lebih penting dan merupakan falsafah politik baharu veteran DAP Lim Kit Siang.

“Hakikat bahawa Kit Siang tidak lagi menganggap Mahathir sebagai ‘bapa perkauman’ atau ‘musuh nombor satu’ menunjukkan pendirian DAP terhadap Mahathir telah berubah daripada negatif kepada positif.

“Kit Siang tidak lagi mahu bercakap tentang masa silam Mahathir apabila beliau menjadi perdana menteri atau meminta Mahathir dibawa ke muka pengadilan terhadap apa yang telah dilakukannya, sebagaimana Kit Siang pernah bercakap pada masa lalu,” menurut catatan dalam blok beliau, sskeruak.blogspot.my hari ini.

Salleh merujuk kepada temubual dalam portal itu apabila Dr Mahathir dan Kit Siang diwawancara oleh Jahabar Sadiq yang menjadi moderator dan temu ramah melalui video itu disiarkan oleh sebuah portal pro pembangkang, semalam.

“Walaupun kedua-dua mereka memberi jawapan yang bersifat mengelak, mesejnya adalah sangat jelas. Kit Siang cuba memesongkan hakikat bahawa objektif utamanya ialah menjatuhkan UMNO dengan menyatakan jika UMNO tewas, ia baik untuk orang Melayu serta UMNO.

“Dalam erti kata lain, menjatuhkan UMNO adalah satu yang memberi kebaikan untuk UMNO dan orang Melayu,” kata beliau.

Beliau berkata kedua-dua mereka kemudian bercakap mengenai undi dari kawasan majoriti Melayu dan bagaimana mereka perlu menghakis pengaruh UMNO di kawasan-kawasan berkenaan jika mahu mengalahkan UMNO.

“Untuk itu berlaku, orang Melayu perlu berpecah kerana masyarakat Melayu yang bersatu memberi kelebihan kepada UMNO. Jelas daripada apa yang mereka katakan bahawa tugas Mahathir ialah untuk memecahkan orang Melayu supaya Pakatan (Pakatan Rakyat) pimpinan DAP boleh tampil berkuasa,” kata Salleh.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *