Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menang majoriti dalam Parlimen mencadangkan pembaharuan radikal dalam kerajaan di bawah pentadbirannya dan berikrar untuk mengembalikan ‘maruah kolektif’ kepada negara terbabit.

Di bawah langkah pembaharuan itu, beliau membuat pengumuman mengurangkan satu pertiga ahli Parlimen.

“Ia akan mewujudkan kerajaan yang lebih cekap dan meletakkan Perancis di landasan baharu. Perubahan ini akan memberi kesan positif terhadap kualiti kerja di Parlimen.

“Jika cadangan ini tidak diluluskan oleh Parlimen dalam tempoh setahun, ia bakal diputuskan menerusi referendum,” kata Macron ketika berucap di Istana Versailles, kelmarin.

Beliau mencadangkan pengurangan daripada 577 kepada 385 anggota Dewan Perhimpunan Kebangsaan manakala anggota Senat dikurangkan daripada 348 kepada 232 orang.

Pemimpin berhaluan sederhana berusia 39 tahun itu juga berjanji untuk meningkatkan langkah keselamatan di Paris bertujuan untuk mengembalikan semula kebebasan yang hilang di bawah perintah darurat yang diisytiharkan di negara tersebut sejak insiden serangan ganas di ibu negara yang meragut 130 nyawa pada November 2015.

“Perintah darurat tersebut akan ditarik balik pada musim luruh ini. Ini kerana kebebasan adalah prasyarat kepada kewujudan demokrasi yang kuat,” ujarnya.

Bulan lalu, Macron turut menetapkan undang-undang antikeganasan baharu lebih tegas bertujuan untuk membolehkan penarikan balik perintah darurat yang dilanjutkan sebanyak lima kali di negara itu. – Agensi

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *