Anda di sini!
Utama > Sukan > Lukaku & Morata Tumpuan Aksi Chelsea-United

Lukaku & Morata Tumpuan Aksi Chelsea-United

Alvaro Morata dan Romelu Lukaku berdepan tekanan untuk menjulang pasukan mereka kembali ke landasan memburu gelaran liga, apabila dua penyerang yang sedikit merudum ini bakal terbabit dalam pertembungan Chelsea – Manchester, esok.

Penyerang Chelsea, Morata dan peledak United, Lukaku – kedua-duanya melonjak dengan ledakan gol di awal musim selepas berpindah ke kelab baharu mereka.

Namun, ketika Chelsea dan United perlu terus menang untuk menghambat pendahulu, Manchester City, Morata dan Lukaku kehilangan sentuhan penyudah berbisa, sekali gus menjadi mereka bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan di Stamford Bridge.

Jose Mourinho mendapatkan Lukaku dari Everton selepas berjaya memujuk penyerang Belgium ini supaya mengenepikan tawaran bos The Blues, Antonio Conte.

Lukaku bermula baik apabila menjaringkan 11 gol dalam 10 perlawanan. Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun ini bergelut dalam enam perlawanan terakhir, sejak akhir September lalu.

Situasi itu mengecewakan penyokong United dan menyalahkan Mourinho kerana gagal memberikan sokongan penuh kepada penyerang itu ketika mereka menang ke atas Tottenham, minggu lalu.

Lukaku bagaimanapun memberi maklum balas, dia masih bekerja keras untuk mencapai kemuncak prestasi.

“Kamu tidak boleh menghakimi saya seolah-olah semuanya sudah berakhir. Saya lebih rela jika prestasi meningkat tahun demi tahun berbanding jika terus berada di puncak dan merudum,” katanya.

“Saya tahu, saya memiliki bakat, tetapi saya juga mahu membantu pasukan. Saya mahu pastikan, apabila pasukan bergelut, mereka boleh mengharapkan saya.

Selepas terlepas peluang mendapatkan Lukaku, Conte berbelanja besar untuk mengikat Morata dari Real Madrid.

Seperti Lukaku, pemain Sepanyol berusia 25 tahun ini gagal meledak dalam enam aksi terakhir, sekali gus menerima kritikan peminat.

Morata juga mendakwa, media tersilap tafsir kata-katanya ketika sesi temuramah apabila dia memberi bayangan tidak akan kekal lama di Chelsea kerana tidak begitu gembira dengan kehidupan di ibu kota London.

Conte, yang melakukan ujian kecergasan terakhir ke atas N’Golo Kante berikutan kecederaan hamstring menegaskan, Chelsea tidak boleh melakukan sebarang kesilapan jika mahu menghambat United dan City.

“Semua pasukan berdepan masalah besar untuk mengejar gelaran liga dan masalahnya ialah Manchester City,” kata Conte.

“Jika mereka kekal dengan cara dan keputusan mereka, ia akan menjadikan perebutan kali ini cukup sukar,” – AFP

Leave a Reply

Top