Anda di sini!
Utama > Politik > LTAT Mulakan Tindakan Undang-undang Ke Atas Rafizi

LTAT Mulakan Tindakan Undang-undang Ke Atas Rafizi

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi Ramli berhubung dakwaan yang dibuat Setiausaha Agung PKR itu terhadap LTAT.

Pengerusinya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata: “Jelas sama sekali bahawa tuntutan yang dibuat oleh Rafizi adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.

“Sekali lagi ditegaskan, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan Rafizi, dan LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Antara dakwaan Rafizi yang juga Anggota Parlimen Pandan, ialah berhubung pembayaran gratuiti kepada pencarum LTAT.

Mohd Anwar berkata adalah tidak munasabah untuk Rafizi membandingkan jumlah pembayaran gratuiti yang dibuat sepanjang tahun dengan baki tunai pada akhir 2014.

“Sepanjang 2014, LTAT telah membuat pembayaran pengeluaran caruman berjumlah RM982.9 juta kepada pencarum yang tamat perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata baki akhir tahun bagi 2014 berjumlah RM561.5 juta adalah baki setelah LTAT membuat semua bayaran termasuk bayaran kepada para pencarum yang mengeluarkan caruman di sepanjang tahun berkenaan.

Selain itu, Mohd Anwar berkata LTAT juga telah menerima dan menyemak senarai 110 pencarum daripada Rafizi yang didakwanya tidak menerima bayaran gratuiti masing-masing.

Daripada jumlah itu, Mohd Anwar berkata LTAT telah membuat pembayaran kepada 70 pencarum; kegagalan pengesahan cap jari dan telah dihubungi (seorang pencarum); dokumen diterima daripada Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) Kementerian Pertahanan pada 4 April 2016 (23 pencarum) serta dokumen belum diterima UGAT (16 pencarum).

“LTAT ingin menekankan dan menjelaskan sekali lagi bahawa semua pembayaran gratuiti kepada anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan termasuk semua 70 yang disebut di atas, telah, dan akan terus diuruskan, dalam tempoh 24 jam setelah LTAT menerima dokumen yang lengkap dan diluluskan daripada UGAT.

“Permohonan-permohonan seperti ini diterima dan dibayar secara berterusan sepanjang tahun,” katanya.

Berhubung kelewatan bayaran daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) bagi projek penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL), Mohd Anwar berkata:

“Sehingga kini, pembayaran oleh 1MDB kepada PPHM telah dibuat, dan PPHM yang menjadi kontraktor ‘turnkey’ untuk 1MDB projek PUKL pula telah membayar semua sub kontraktor atas jumlah yang ditetapkan mengikut kontrak.”

Mohd Anwar berkata akaun LTAT juga diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan dibentangkan di Parlimen.

Leave a Reply

Top