Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mencadangkan supaya jawatankuasa khas diwujudkan bagi menyelaras agensi penguatkuasaan dalam menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Pengerusi LKIM, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, berkata LKIM menyambut baik saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan agensi penguatkuasaan bertindak tegas mengekang pencerobohan dan rompakan hasil laut.

“Pencerobohan oleh nelayan asing keluhan serius yang sering disampaikan oleh nelayan kita dari pantai timur Semenanjung, mahupun Sabah dan Sarawak.

“Sebagai Pengerusi LKIM saya mencadangkan kepada Kabinet supaya mewujudkan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri untuk menyelaras agensi penguatkuasaan dalam mengatasi masalah ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Agensi penguatkuasaan berkenaan ialah Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Irmohizam berkata, penyelarasan agensi penguatkuasaan ini yang memantau perairan negara dan berkongsi peralatan dapat membendung pencerobohan nelayan asing ke perairan negara.

Irmohizam yang juga Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia mencadangkan, Kementerian Kewangan menambah peralatan kapal bantuan TLDM di pantai timur untuk dalam Bajet 2018.

Katanya, TLDM juga patut memperluas kempen Keselamatan, Kesedaran dan Komuniti Maritim (K3M) bagi membantu nelayan ketika berada di laut bagi mengekang pencerobohan nelayan asing.

“Saya yakin sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kita bukan saja dapat menyelamatkan antara RM3 bilion sehingga RM6 bilion setahun hasil laut, sebaliknya bekalan ikan kita semakin bertambah,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *