Lesen perkhidmatan Goldstar Express (M) Sdn Bhd, pengendali bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Kampung Jayor, Pagoh Johor pagi Sabtu, digantung serta-merta.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan berkata keputusan itu diambil sehingga siasatan lengkap atas sebab-sebab keselamatan penumpang dan membolehkan siasatan daripada agensi-agensi yang terlibat dilakukan.

“Siasatan sedang diketuai oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), manakala SPAD akan menyiasat pelanggaran syarat-syarat Kod Amalan Keselamatan Industri (SPAD ICOP),” katanya di sini, Sabtu.

SPAD berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan tindakan keras di bawah peruntukan undang-undang akan dikenakan sekiranya pengendali bas gagal mematuhinya.

“Keselamatan penumpang merupakan keutamaan di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali SPAD, semua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung standard tertinggi di dalam mengendalikan kenderaan mereka.

“Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen pengendali dan permit pengendali yang didapati telah melanggar keperluan keselamatan yang wajib dipatuhi di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali,” kata kenyataan itu.

Awal pagi semalam, bas berkenaan terjunam ke dalam curam setinggi 10 meter diKampung Jayor, berdekatan dengan kawasan rehat dan rawat Pagoh menyebabkan 14 maut dan 16 cedera. –

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *