ISKANDAR PUTERI, Kerajaan menerima lebih 80,000 aspirasi masyarakat menerusi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) sejak agenda itu diperkenalkan pada Januari lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata program itu membabitkan seramai dua juta penduduk termasuk penjawat awam bagi mendapatkan input semua lapisan masyarakat.

Katanya, antara aspirasi yang paling banyak diterima termasuk dalam bidang pendidikan dan ada juga ramai yang meminta pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti.

“Bagaimanapun, perkara ini (universiti percuma) negara maju pun tidak buat tapi kita akan ambil kira kerana ia hasil dapatan aspirasi rakyat.

“Dan satu lagi kebajikan perkhidmatan awam, khususnya isu perumahan sekarang kita sudah ada cara atasinya dan peringkat persekutuan kita sudah mengadakan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PP1M) di mana kita mulakan dengan 100,000 unit dan diunjurkan meningkat kepada 200,000 unit menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama lebih 2,700 penjawat awam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini. Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Ali berkata, program sedemikian sebelum ini dilaksanakan Putrajaya, Sarawak, Sabah dan Pahang sebelum Johor pada hari ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *