Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Lebih 3000 Akaun SSPN-i Plus Dibuka Di Johor

Lebih 3000 Akaun SSPN-i Plus Dibuka Di Johor

Sebanyak 3,386 akaun SSPN-i Plus dibuka di Johor dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.4 juta dan jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga RM166.7 juta sejak 2015 sehingga 31 Ogos lalu.

Sejajar perkembangan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengajak rakyat dan bangsa Johor merebut peluang dengan membuka serta menambah simpanan dalam akaun SSPN-i Plus sebagai pilihan penabungan pendidikan terbaik.

Katanya, masih ramai rakyat Johor belum membuka akaun berkenaan.

“Kemudahan dan peluang sudah disediakan kerajaan, maka ibu bapa jangan berlengah. Mulakan penabungan melalui SSPN-i Plus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran SSPN- i Plus Peringkat Johor, di Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Bagi meningkatkan kesedaran produk baharu itu, Mohamed Khalid menyarankan PTPTN memperhebatkan promosi ke semua agensi kerajaan dan swasta di Johor.

Katanya, masyarakat perlu membuka minda bahawa adalah sukar bagi anak mereka meneruskan pengajian dan cita-cita tanpa perancangan kewangan yang baik.

Bermula tahun lalu, katanya, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bekerjasama dengan PTPTN untuk memberikan sumbangan Biasiswa Kenangan Dato’ Onn (BKDO) berupa akaun SSPN-i Plus.

“Tahun ini, sejumlah RM725,600 diperuntukkan untuk penerima BKDO dengan pelajar Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima menerima RM600, manakala pelajar Tingkatan Enam menerima RM1,000,” katanya.

Leave a Reply

Top