Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Lebih 1,000 Orang Cedera Gempa Bumi Di Iraq

Lebih 1,000 Orang Cedera Gempa Bumi Di Iraq

Satu gempa bumi bermagnitud 7.3 telah melanda kawasan sempadan Iran-Iraq pada Ahad dan meragut 129 nyawa serta mencederakan lebih 1,000 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media rasmi Iran pada Isnin.

Pusat gempa terletak kira-kira 32 kilometer di selatan bandar Halabja di kawasan pergunungan terpencil di timur Iraq, kira-kira 200 kilometer di timur laut Baghdad dan 400 kilometer di barat Tehran, menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa itu melanda kawasan terbabit pada 9.18 malam waktu tempatan (0018 GMT), ketika kebanyakan orang berada di rumah, kata USGS.

Sekurang-kurangnya 14 wilayah di Iran telah terjejas berikutan gempa itu.

Bandar paling teruk terjejas di Iran ialah Ghasre Shirin di Kermanshah dan Azgaleh, yang terletak kira-kira 40 kilometer di bahagian barat laut negara itu, lapor agensi berita rasmi IRNA.

Di Iraq, para pegawai berkata gempa itu telah menyebabkan enam maut di wilayah Sulaimaniyah manakala lebih 150 orang lagi cedera.

Kebanyakan kematian berlaku di pekan Darbandikhan, yang terletak kira-kira 35 kilometer di tenggara bandar Sulaimaniyah.

Gempa itu melanda sepanjang 1,500 kilometer garis sesar di antara plat tektonik Arab dan Eurasia, satu jaluran yang merentasi bahagian barat Iran dan timur laut Iraq. Aktiviti seismik kerap berlaku di kawasan ini.

Pada 2013, satu gempa bumi bermagnitud 6.6 telah memusnahkan bandar bersejarah Bam dan meragut nyawa 26,000 orang.

Sejak itu, Iran telah mengalami sekurang-kurangnya dua gempa bumi besar iaitu pada 2005 yang meragut lebih 600 nyawa dan pada 2012, yang menyebabkan kira-kira 300 orang terkorban.

Baru-Baru ini, satu gempa bumi bermagnitud 5.7 yang melanda kawasan berhampiran sempadan Iran dan Turkmenistan pada Mei telah meragut dua nyawa dan menyebabkan ratusan lagi cedera serta kerosakan yang meluas.

Leave a Reply

Top