Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Lebih 100 NGO Islam Seluruh Negara Sokong Bajet 2018

Lebih 100 NGO Islam Seluruh Negara Sokong Bajet 2018

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengucapkan terima kasih kepada hampir 300 wakil kira-kira 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari seluruh negara yang menyatakan sokongan mereka terhadap Bajet 2018.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 10 minit menemui mereka di Perdana Putra sebentar tadi, yang mana beliau disambut dengan laungan ‘Negaraku Malaysia’ dan ‘Bajet Terbaik’ sebagai tanda sokongan.

Seorang wakil NGO, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa, berkata mereka tergerak menyatakan sokongan itu selepas mendapati Bajet 2018 sangat dekat dengan rakyat terutama masyarakat Islam dan orang Melayu.

“Justeru, kita nyatakan sokongan penuh dan ucapkan terima kasih kerana Perdana Menteri terus membantu umat Islam dan orang Melayu serta berharap mereka juga memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri.

“Antara kandungan memorandum sokongan ini menyentuh mengenai peningkatan syiar Islam dan maqasid syariah, selain penambahan peruntukan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta imbuhan kepada imam dan bilal.

“Secara keseluruhan, Bajet 2018 bukan bajet untuk pilihan raya, sebaliknya bajet untuk rakyat dan masa depan negara, selaras dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor, (WITUS) Shiella Tukimin berkata, idea menyerahkan memorandum bersama gabungan NGO Islam itu timbul selepas mendapati bajet yang dibentangkan Perdana Menteri dianggap sangat baik.

“Ia merangkumi semua pihak terutama golongan wanita dan ibu tunggal tidak ketinggalan merasai tempias manfaatnya,” katanya.

Leave a Reply

Top