Anda di sini!
Utama > Belia > Lebih 1.5 Juta Pelatih Telah Dipersijilkan

Lebih 1.5 Juta Pelatih Telah Dipersijilkan

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia telah mempersijilkan lebih 1.5 juta pelatih menerusi tiga program persijilan kemahiran yang dilaksanakan jabatan itu, sehingga September tahun ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Richard Riot berkata jumlah persijilan itu merangkumi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Malaysia.

“Kementerian melalui JPK menyediakan tiga program Persijilan Kemahiran Malaysia yang boleh disertai rakyat Malaysia iaitu pertama, program latihan kemahiran di pusat bertauliah sama ada awam atau swasta yang berjumlah 1,254 buah pusat seluruh negara.

“Kedua, mereka boleh menyertai Program Sistem Latihan Dual Nasional yang menjalani 70 peratus latihan amali di industri dan 30 peratus latihan di institusi latihan manakala program ketiga, rakyat Malaysia boleh dipersijilkan berasaskan pengalaman kerja yang dimiliki melalui Pentauliahan Pencapaian Terdahulu,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat khamis.

Beliau berkata semua program latihan itu yang ditauliahkan oleh JPK adalah berdasarkan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangunkan oleh pihak industri.

Katanya, program-program itu juga adalah sebahagian inisiatif yang ditawarkan kementerian berkenaan bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan rakyat Malaysia selaras dengan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Leave a Reply

Top