Lawatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke China, kononnya meraih pelaburan adalah bukti sikap hipokrit pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, yang menyelar politik putar belit ditunjukkan Azmin itu membuktikan segala tohmahan pembangkang bahawa Malaysia dijual kepada China selama ini umpama `meludah ke langit’.

Katanya, laluan untuk Timbalan Presiden PKR itu mengadakan kunjungan ke China hanya sekadar khayalan jika tiada usaha awal dirintis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Persekutuan.

“Perdana Menteri menggerakkan pelbagai usaha bagi membawa masuk pelaburan dari China, sama ada melalui peringkat antara kerajaan (G2G), perniagaan ke perniagaan (B2B) mahupun rakan setara (P2P) seperti lawatan ke republik itu pada Mei lalu.

“Hasilnya, jumlah pelaburan China ke Malaysia mencecah lebih RM30 bilion, selain menempa laluan untuk Ali Baba Group membuka hab pengedarannya di Sepang yang secara tidak langsung membawa pulangan kepada kerajaan Selangor.

“Bagaimanapun, kejayaan Perdana Menteri membawa sejumlah pelaburan yang besar ini dijadikan modal politik pembangkang dengan mendakwa Kerajaan Persekutuan menjual negara kepada China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Budiman berkata, lawatan Azmin ke China membuktikan sikap hipokrit pembangkang yang menyebarkan dakyah kepada rakyat bahawa rangkaian pelaburan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan tidak memberi keuntungan kepada negara.

Rentetan itu, katanya, rakyat tidak wajar terus tertipu dengan pelbagai terma ekonomi dan pelaburan dimomokkan pembangkang dalam cubaan mencetuskan kekeliruan, selain membandingkan usaha mereka dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan.

“Rakyat tidak lupa sikap hipokrit pembangkang apabila kerajaan Pulau Pinang turut mendapatkan pinjaman dari China bagi menampung perbelanjaan pembangunan di negeri terbabit.

“Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat dengan sikap hipokrit, malah cuba meraih keuntungan dan hasil daripada usaha (Kerajaan Persekutuan) yang mereka kritik sebelum ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *