Malaysia yakin lawatan Presiden Perancis, Francois Hollande akan menarik lebih banyak syarikat Perancis menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut beliau, kini terdapat sekurang-kurangnya 270 syarikat Perancis beroperasi di sini dengan nilai pelaburan RM15 bilion, dalam sektor seperti pembuatan, perkhidmatan dan kewangan.

“Perancis adalah antara negara yang mempunyai pelaburan besar di Malaysia dan juga sebuah negara kuasa besar. Oleh itu kerjasama ini akan meningkatkan profil Malaysia dalam sektor tenaga,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian enam memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua kerajaan di sini, Selasa.

Antara MoU berkenaan ialah dalam sektor gas, penjanaan tenaga solar dan gas, yang nilainya belum didedahkan.

Mustapa berkata, lawatan yang kerap antara Malysia dan Perancis telah mengesahkan penglibatan dua hala aktif dan produktif Malaysia.

Beliau juga berkata, kementeriannya akan mewujudan pembabitan berterusan dengan syarikat Perandis di negara ini.

Hollande tiba di Malaysia malam tadi dan beliau dijadual berlepas ke Jakarta malam ini.

Menurut Mustapa, kebelakangan ini Malaysia setiap minggu menerima pelawat dari seluruh dunia berkaitan kerjasama perniagaan dan ia termasuk Pengerusi Alibaba Group, Jack Ma dan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dari Arab Saudi.

“Ia mencerminkan keyakinan syarikat asing terhadap Malaysia. Oleh itu, kami menjangka pelaburan asing akan meningkat,” tambahnya.

MoU yang ditandatangani hari ini termasuk antara syarikat Perancis, Electricite de France dan Tenaga Nasional Bhd.

Melalui MoU dua tahun tersebut, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat daripada pengkongsian pengalaman dan pertukaran maklumat mengenai aspek pentadbiran, pengurusan dan teknikal berkaitan sektor tenaga.

Satu lagi MoU dimeterai antara kumpulan Perancis, Engie, peserta tenaga global dan Sime Darby, bagi membangunkan peluang perniagaan secara bersama dalam tenaga solar dan perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu canggih.

MoU turut ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Perancis dalam bidang memajukan perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat baru bermula inovatif.

Ia dimeterai antara Bpifrance dan PlaTCOM Ventures.

Perancis adalah rakan kongsi perdagangan keempat terbesar Malaysia di kalangan negara Kesatuan Eropah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *