Anda di sini!
Utama > Terkini > LAPORAN AKHIR 1MDB OLEH JAB AUDIT NEGARA SIAP AKHIR TAHUN – PENGERUSI PAC

LAPORAN AKHIR 1MDB OLEH JAB AUDIT NEGARA SIAP AKHIR TAHUN – PENGERUSI PAC

mh online

image

Dato Hassan ariffin dan Dr Tan Seng Giaw sebelum bermulanya mesyuarat PAC di bangunan Parlimen

Jabatan Audit Negara dijangka menyiapkan laporan akhir berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin berkata perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

“Dalam mesyuarat pertama PAC hari ini, kami mendengar laporan interim berhubung 1MDB daripada Jabatan Audit Negara kerana ramai anggota baharu yang dilantik dalam jawatankuasa PAC, dan mereka (Jabatan Audit Negara) janji akan siapkan laporan akhir menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah.

PAC mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini selepas pelantikan enam anggota baharu termasuk pengerusinya.

Selain itu, Hasan yang juga Anggota Parlimen Rompin berkata PAC akan meneruskan prosiding ke atas 1MDB mengikut kaedah yang dilaksanakan pengerusi terdahulu, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Kami akan teruskan prosiding dengan memanggil mereka yang telah ditetapkan sebelum ini, seperti (Presiden) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan (1MDB) Arul Kanda, Shahrul (bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Mohd Shahrul Ibrahim Halmi) dan pengerusi-pengerusi mereka … tarikh akan ditentukan secepat mungkin,” katanya.

Arul Kanda sebelum ini dilaporkan berkata beliau bersedia untuk menghadiri prosiding PAC dan jawapan beliau menjadi sebahagian daripada rekod awam.

Hasan bagaimanapun berkata tiada keperluan untuk memanggil ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, sebaliknya, akan meletakkannya sebagai personaliti dalam prosiding, dan bukannya saksi.

Beliau juga berkata tiada keperluan untuk anggota PAC mengangkat sumpah simpan rahsia kerana mereka telah mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen.

“… ini juga kerana PAC adalah sebahagian daripada jawatankuasa dalam Parlimen,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mencadangkan kesemua anggota PAC mengangkat sumpah simpan rahsia supaya segala dokumen dan maklumat dalam jawatankuasa itu kekal rahsia.

Antara agenda yang turut dibincangkan dalam mesyuarat tiga jam itu termasuk penerangan kepada anggota baharu berhubung tugas dan tanggungjawab PAC serta taklimat prosiding dan isu yang tertangguh sebelum ini.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top