Anda di sini!
Utama > Terkini > LANGKAH PEMBAHARUAN KUKUH EKONOMI NEGARA

LANGKAH PEMBAHARUAN KUKUH EKONOMI NEGARA

mh online

image

Beberapa langkah pembaharuan yang diambil oleh kerajaan berjaya mengukuhkan kedudukan ekonomi dan kewangan negara serta mengurangkan beban rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah-langkah itu, walaupun ada yang tidak popular dalam kalangan rakyat, perlu diambil untuk mengecapi keadaan ekonomi negara yang lebih kukuh berbanding krisis kewangan Asia pada 1997, di mana kerajaan “sudah belajar” daripada krisis berkenaan.

Antara pembaharuan itu ialah memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi mengurangkan defisit fiskal negara serta mengurangkan subsidi minyak, katanya.

“Consistently, reform (pembaharuan) mesti berjalan walaupun painful (menyakitkan) dan tidak popular.

“Lambat laun rakyat akan sedar reform ini, akan sedar latitude apabila berdepan dengan keadaan tidak menentu pada masa ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas Perbendaharan Malaysia Tahun 2014 di sini.

“Kita memulakan ETP untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009. Kita menjangkakan 3.2 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan perlu menanggung RM20 bilion setahun sekiranya pengurangan subsidi minyak tidak dilaksanakan.

Najib berkata walaupun pelaksanaan GST pada 1 April lalu tidak begitu popular namun ia telah membantu menambah hasil kewangan negara ketika berdepan dengan kejatuhan harga minyak.

“Saya telah berjanji hasil tambahan daripada GST akan dipulangkan kepada rakyat dan ia akan dihuraikan di dalam Bajet 2016,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang berdepan dengan senario ekonomi global yang menerima tekanan daripada faktor-faktor luar kawalan, di mana tidak ada sebuah negara terkecuali daripada menerima bahang situasi yang dihadapi semua negara itu.

Najib dalam pada itu berkata kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas yang akan bermesyuarat setiap hari sekiranya perlu, bagi memantau dan memberi cadangan langkah-langkah tambahan yang perlu diambil untuk menstabilkan keadaan ekonomi negara.

“Kerajaan akan bertindak sedaya upaya. Kita harap fenomena ini dapat dibendung dalam masa tidak berapa lama lagi. Isu faktor luaran berada di luar kawalan kita, tetapi kerajaan akan cuba memastikan rakyat tidak beban dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang mengetuai jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Kewangan itu berkata ia akan memantau keadaan ekonomi dan menasihati pengurusan tertinggi mengenai langkah-langkah yang sepatutnya diambil.

Katanya, beliau bersama timbalan-timbalan ketua setiausaha akan berjumpa dengan wakil-wakil dari Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mendapat pandangan dan cadangan.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top