Anda di sini!
Utama > Hiburan > Lagu Urban Tidak Sesuai Dengan Saya – Nana

Lagu Urban Tidak Sesuai Dengan Saya – Nana

Penyanyi Siti Nordiana berkata, percubaannya membuat perubahan dengan menghasilkan lagu lebih moden iaitu “Pesanan Teragung” gagal diterima peminat kerana mereka masih mengharapkan dia tampil dengan lagu-lagu ‘kampung’.

Siti Nordiana, 33, berkata, lagu yang dirakam selepas menjuarai program Gegar Vaganza 2 itu kurang mendapat sambutan berikutan dikatakan tidak sesuai dengan dirinya.

“Saya akui perubahan yang saya buat dengan membawa lagu genre urban kurang mendapat sambutan kerana orang masih melihat saya dengan lagu-lagu kampung. Mereka mahu saya menyanyikan lagu-lagu seperti itu semula.

“Jiwa saya juga memang sudah sebati dengan lagu-lagu seperti itu dan saya akui bila kita nyanyi lagu yang kita suka… pendengar juga secara tidak langsung boleh menerima lagu tersebut,” ujarnya.

Siti Nordiana ditemui pada majlis sidang media Anugerah MeleTOP Era (AME) 2017 yang berlangsung di Trec KL, di sini, Selasa.

Dia menjawab tentang perkembangan bidang nyanyiannya yang dilihat kurang menyerlah berbanding bidang lakonan.

Pelakon drama Dia Semanis Honey ini dicalonkan dalam pencalonan awal kategori “Pelakon TV MeleTOP” di Anugerah MeleTOP Era (AME) 2017 yang bakal berlangsung pada 23 April depan.

Dalam pada itu, Siti Nordiana berkata, disebabkan perkara itu, dia mengambil peluang untuk mencipta lagu sendiri yang bakal dikeluarkan sebagai single terbaharunya dalam masa terdekat.

Katanya, lagu berkenaan juga diinspirasikan kepada lagu-lagu lamanya yang pernah mendapat tempat di hati peminat suatu masa dahulu.

“Saya akan cipta lagu sendiri untuk single terbaharu saya nanti, ia bukan kerana saya tidak percaya kepada komposer yang ada tetapi sengaja ingin cuba bidang penciptaan lagu pula,” ujarnya.

Tambah Siti Nordiana, dia juga gembira trend lagu-lagu ‘kampung’ ketika awal kemunculannya dalam industri hiburan sudah kembali mendapat perhatian dan diterima ramai pada ketika ini.

Leave a Reply

Top