Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) akan meneruskan usaha untuk menyediakan akses lebih luas kepada pelaburan pasaran swasta tahun ini bagi menjana pulangan lebih baik.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata antara tumpuan utama itu membabitkan sektor infrastruktur, hartanah serta ekuiti swasta.

KWSP sebelum ini menumpukan (pelaburan) dalam lebuh raya serta sektor infrastruktur dan tenaga.

“Kami berasakan ia (pasaran swasta) mampu memberi pulangan inflasi lebih baik yang sememangnya sentiasa menjadi asas sasaran KWSP,” katanya pada taklimat media mengenai dividen KWSP 2016 di sini, Isnin.

Pada Sabtu lepas, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.70 peratus bagi 2016 dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion. Dividen itu lebih rendah berbanding 6.4 peratus yang diumumkan pada 2015.

Kadar dividen 2016 lebih rendah itu juga adalah kesan daripada penyusutan prestasi Bursa Malaysia.

Selain itu, mengulas Simpanan Shariah, Sharil Ridza berkata skim simpanan itu dijangka mampu menarik lebih ramai pendeposit sebaik dividen pertamanya diumumkan pada tahun depan.

“Pada masa ini, simpanan skim itu berjumlah RM59 bilion yang sejajar dengan sasaran kami.

“Malah, pada awalnya, kami menjangkakan jumlah (pengambilannya) sekitar RM60 bilion hingga RM80 bilion. Namun, kami memperuntukkan sehingga RM100 bilion sekiranya permintaan melebihi sasaran,” katanya.

Mengulas pelaburan di luar negara, Shahril Ridza berkata ia meliputi 29 peratus daripada jumlah pelaburan aset, iaitu meningkat berbanding 27 peratus pada 2015.

Katanya, peningkatan itu juga sejajar dengan sasaran 30 peratus KWSP membabitkan pelaburan aset di luar negara.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *