Barack Obama pada bulan ini akan menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) yang pertama mengunjungi Hiroshima, namun White House menafikan andaian bahawa kunjungan itu bakal disertai acara permohonan maaf bagi kemusnahan nuklear pada tahun 1945 di bandar tersebut.

Obama, yang akan diiringi Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, akan bertemu dalam kunjungan simbolik itu pada 27 Mei, selepas menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Negara Matahari Terbit itu.

White House menyifatkan kunjungan itu sebagai usaha menunjukkan ‘komitmen AS dalam mencapai keamanan dan keselamatan dunia tanpa senjata nuklear’.

Pengumuman lawatan Obama ke Jepun itu menjawab segala spekulasi yang tersebar sejak berbulan-bulan lamanya.

Pada 6 Ogos 1945, AS telah menjatuhkan bom atom pertama dunia di Hiroshima hingga mengorbankan sekitar 140,000 orang.

Tiga hari kemudian, tentera AS menjatuhkan bom plutonium di bandar pelabuhan Nagasaki, lantas membunuh 74,00 orang.

Dua kejadian pengeboman itu kekal sebagai isu kontroversi di AS dan seluruh dunia. Pendapat masyarakat dunia terbahagi kepada dua bahagian – sama ada tindakan menggugurkan bom itu sebagai kaedah menghentikan keganasan Perang Dunia Kedua secara muktamad ataupun suatu tindakan jenayah perang kerana mengorbankan orang awam.

Dalam sebuah kajian rawak pada tahun lalu, sejumlah 56 peratus warga AS pervaya pengeboman itu mempunyai alasan yang wajar, manakala di Jepun, 14 peratus rakyatnya bersetuju tentang hal itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *