Anda di sini!
Utama > Belia > Kumpulan Rondaan Pelajar Tingkat Keselamatan Kampus USIM

Kumpulan Rondaan Pelajar Tingkat Keselamatan Kampus USIM

Bagi meningkatkan tahap keselamatan kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pasukan rondaan pelajar diperkenalkan dikenali sebagai Assas dalam bahasa Arab yang bermaksud Penjaga.

Aktiviti rondaan ini melibatkan 370 pelajar badan beruniform USIM terdiri daripada Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (Kor Suksis), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan Bulan Sabit Merah (BSM).

Assas yang bermula sejak 18 Mac lalu dilancarkan secara rasmi oleh Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad di Kolej Kediaman Satu tengah malam tadi.

Musa berkata sebagai langkah permulaan, rondaan Assas tertumpu kepada tiga kolej kediaman pelajar iaitu Kolej Kediaman Satu, Kolej Kediaman Nilam Court dan Kolej Kediaman Sutera Indah.

“Penglibatan mereka ini adalah berbentuk kesukarelawanan berstruktur yang diberikan kredit dalam modul pembelajaran dan kejurulatihan badan beruniform USIM.

“Pelajar badan beruniform dipilih sebagai perintis ahli rondaan ini kerana mereka terbukti mempunyai disiplin, mental dan fizikal yang terbaik. Konsep ini sudah biasa dilaksanakan di universiti luar negara dikenali sebagai ‘Student Watch’,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Katanya Assas menjadi wadah bagi menunjukkan kebersamaan mahasiswa dalam menangani isu-isu keselamatan kampus sekali gus mendidik para pelajar ke arah membina masyarakat prihatin terhadap keselamatan diri dan komuniti.

“Ia juga dapat memupuk rasa memiliki dan menyayangi universiti mereka ini sebenarnya,” kata Musa.

Rondaan Assas diadakan pada hari Isnin hingga Jumaat dengan dua shif waktu bertugas iaitu 12 malam hingga 2.30 pagi dan 2.30 pagi hingga 5 pagi dengan tiga petugas bagi setiap waktu.

Petugas dibekalkan dengan seragam khas, lampu suluh serta wisel dan mereka akan mengadakan rondaan bersama-sama Pengawal Keselamatan USIM.

Aktiviti rondaan pelajar ini diterajui Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan USIM.

Leave a Reply

Top