Anda di sini!
Utama > Politik > Kuli Sokong Najib Tanda Tangan Deklarasi Kelantan

Kuli Sokong Najib Tanda Tangan Deklarasi Kelantan

Kesemua 14 ketua Umno Bahagian Kelantan pada Khamis mengikrarkan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menandatangani Deklarasi Kelantan.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani deklarasi itu di hadapan Najib sendiri pada pertemuan Umno Kelantan dengan perdana menteri yang berlangsung kira-kira dua jam di bangunan Parlimen.

Katanya deklarasi itu kemudian diserahkan kepada Najib oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Semua wakil rakyat termasuk anggota Dewan Negara dari Kelantan menghadiri pertemuan itu bagi menyerahkan Deklarasi Kelantan yang dilancarkan minggu lepas dalam satu perhimpunan di Kelantan bagi menyatakan sokongan tidak berbelah- bahagi kepada Najib.

“Kami buat resolusi menandatangani dokumen bertujuan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.

Dilaporkan kira-kira 10,000 rakyat Kelantan pada Sabtu lepas berhimpun di perkarangan Bangunan Umno Kota Baharu bagi menyatakan sokongan kepada Najib selaku Presiden Umno dan menolak Deklarasi Mahathir yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Annuar berkata selain majlis penyerahan deklarasi, beberapa isu mengenai permasalahan rakyat Kelantan turut disampaikan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.

“Antara perkara yang dibincangkan bersama Perdana Menteri termasuk royalti minyak, pembinaan Lebuhraya Gua Musang-Kota Baharu, pembesaran lapangan terbang sedia ada dan pembinaan stadium baharu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengusulkan pelbagai syor berhubung hal ehwal kemajuan Kelantan selain berbincang mengenai beberapa perkara yang difikirkan perlu bagi kepentingan rakyat Kelantan.

Ditanya mengenai syor yang dikemukakan kepada Najib, Annuar berkata ia merangkumi aspek pembangunan, politik dan ekonomi negeri.

“Perdana Menteri menghargai inisiatif yang diambil pemimpin Kelantan, malah memberi reaksi positif dan berjanji akan meneliti serta mengadakan perbincangan lanjut terhadap kesemua syor yang dikemukakan,” katanya.

Katanya Perdana Menteri turut memaklumkan mengenai perancangan serta pencapaian semasa kerajaan setakat ini.

“Beliau menerangkan tentang rancangan untuk menumpukan ekonomi bagi mengukuh serta mendapatkan lebih banyak projek. Beliau turut menerangkan kesan pembangunan serantau terutama di negara China yang mempengaruhi negara ini,” katanya.

Annuar berkata Najib juga memaklumkan bahawa segala perancangan pembangunan negara tidak terjejas walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu ketika ini.

Leave a Reply

Top