Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kuasai Media Baru Tangkis Persepsi Negatif – TPM

Kuasai Media Baru Tangkis Persepsi Negatif – TPM

Wanita Umno perlu menguasai media baru bagi menangkis persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga pemangku Timbalan Presiden Umno mahu Wanita Umno mengambil iktibar bagaimana Donald Trump menggunakan media sosial untuk mengatasi persepsi negatif yang akhirnya menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Katanya, 93.4 peratus daripada askar siber anti kerajaan mendapati persepsi terhadap Barisan Nasional (BN) dan kerajaan kekal negatif.

“Beliau (Trump) menjadi presiden kerana dia mengawal media sosial. Kita mesti belajar dari beliau tetapi mengikut acuan kita sendiri.

“Persepsi mengatakan dia akan kalah. Persepsi mengatakan dia akan melakukan perkara yang tidak boleh diterima, bahawa beliau akan dibenci oleh umat Islam dan berwarna.

“Tetapi penguasan media sosial oleh pasukan komunikasi Donald Trump menjadi kekuatan,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Skuad Penerangan dan Media Wanita Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Datuk Ibrahim Saad dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Tambah Ahmad Zahid, dunia masa kini adalah peperangan bagi menguasai pemikiran dan persepsi. Oleh demikian, Wanita Umno tidak boleh ketinggalan.

“Mana-mana kumpulan yang mengubah peperangan pemikiran dan persepsi,  orang itulah yang berjaya,” ujarnya.

Justeru, beliau mahu Wanita Umno menggalas peranan itu bagi memastikan PRU14 persepsi rakyat ke arah kerajaan dan BN.

“Saya minta kita berubah dan mengubah pemikiran untuk memastikan maklumat sampai ke sasaran (rakyat) dan kita menang dua pertiga majoriti,” katanya.

Leave a Reply

Top