Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KPN Garis 4 Perkara Pulih Imej PDRM

KPN Garis 4 Perkara Pulih Imej PDRM

KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan mengamalkan ‘Blue Wall Of Silence’ dalam berhadapan dengan elemen negatif dalam pasukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau komited dalam memastikan integriti menjadi tunjang kepada budaya kerja pasukan dan tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk perlakuan rasuah atau salah laku.

Menurutnya, penubuhan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman adalah bukti PDRM memperkasakan lagi organisasi ke arah meningkatkan lagi perkhidmatan pasukan agar kekal sebagai penguat kuasa terbaik di negara.

“JIPS memfokuskan ke arah pemantapan integriti demi pertingkatkan imej PDRM di mata masyarakat. Ia juga bertujuan mengubah kedudukan PDRM daripada agensi yang berisiko tinggi untuk terlibat dalam kegiatan rasuah kepada agensi yang paling selamat atau berisiko rendah.

“Bagi menjamin kualiti perkhidmatan, JIPS menjalankan pemeriksaan integriti dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif bagi memastikan setiap warga PDRM sentiasa bersedia, kompetan serta mematuhi segala arahan atau peraturan,” katanya ketika program Breakfast Talk – Integriti, di Pulapol, hari ini.

Beliau berkata, dalam menangani isu persepsi dan mempertahankan integriti pasukan, pendekatan secara holistik dan drastik dilaksanakan sebagai elemen utama di dalam usaha pemantapan integriti dan pematuhan standard.

Katanya, PDRM tidak akan bertoleransi dan berkompromi terhadap sebarang bentuk amalan rasuah.

Mohamad Fuzi juga telah menetapkan empat fokus utama dalam usaha memelihara dan memulihkan imej PDRM iaitu penghayatan kepada konsep ‘back to basic’, memelihara integriti dan menghindari rasuah, memerangi judi, jenayah bersindiket dan gangsterisme serta memperkasakan ‘Intelligence Led Policing (ILP)’.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat rasuah. Sekiranya ada tindakan akan diambil. Kalau saya perlu mengeluarkan ketua polis, maka saya akan laksanakannya,” tegasnya.

Leave a Reply

Top