PUTRAJAYA, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Hari Raya Puasa tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kawalan itu akan berkuat kuasa dari 16 Jun hingga 30 Jun ini iaitu selama 14 hari melibatkan lapan hari sebelum perayaan, satu hari pada hari raya dan lima hari selepas perayaan.

“Skim ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya pada sidang media bersempena pengumuman penentuan harga maksimum barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan, Hari Raya Puasa 2017 di sini hari ini.

Jelasnya harga maksimum ditentukan bagi 21 barangan harga terkawal di 91 daerah di Semenanjung; 32 daerah di Sarawak; 27 daerah di Sabah dan sebuah daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit adalah melalui maklumat daripada pemantauan harga sepanjang 2016 hingga Jun 2017 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNKK.

“Kita juga mendapatkan pandangan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut,” katanya.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi  mengelak aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

“KPDNKK akan mendapatkan kerjasama daripada Friends of KPDNKK, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Skuad Pengguna, penghulu dan ketua masyarakat untuk membantu kementerian dengan memantau dan memberi maklum balas mengenai pelaksanaan skim ini,” katanya.

Hamzah berkata, bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ialah denda sehingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun maksimum RM50,000 bagi individu.

Syarikat yang gagal mematuhi harga ditetapkan pula akan didenda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000, katanya.

“Bagi peniaga yang gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pula bakal berdepan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda maksimum RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat,” katanya.

Berikut senarai 21 barangan tersebut:

1. Ayam hidup

2. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

3. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

4. Telur ayam gred A

5. Telur ayam gred B

6. Telur ayam gred C

7. Daging lembu tempatan (tidak dikawal di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan)

8. Daging lembu import (dikawal di Sarawak sahaja)

9. Daging kerbau import (India) (tidak dikawal di Sarawak)

10. Cili merah

11. Tomato

12. Kubis bulat import (Indonesia dan China kecuali kubis Beijing)

13. Kelapa biji (dikawal peringkat borong sahaja)

14. Kelapa parut (dikawal peringkat runcit sahaja)

15. Bawang merah kecil (India)

16. Bawang putih (China)

17. Bawang besar import

18. Ubi kentang import (China)

19. Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)

20. Ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)

21. Ikan aya/tongkol (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) (dikawal di Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *