Tan Sri Annuar Musa membayangkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal berdepan sindrom ketidakupayaan untuk membayar gaji pemain sekiranya The Red Warriors meneruskan hasrat menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bekas Presiden Kafa itu berkata, badan induk bola sepak negeri itu hanya mampu  bertahan membayar gaji pemain mereka untuk tempoh tiga bulan sahaja berdasarkan jumlah dana yang mereka miliki setakat ini.

“Saya rasa Kelantan terpaksa tarik diri. Bukan kerana (hendak) tarik diri tetapi tak dapat meneruskan bayar gaji (pemain). Kita bukan nak tarik diri, ramai penyokong marah apabila Kafa umum tarik diri, sebenarnya bukan isu itu.

“Kalau pergi (teruskan penyertaan) juga (tetapi) tiga bulan gaji tak bayar, tak guna juga. Kecuali pemain sendiri kata, Kelantan jangan tarik diri, kami sedia bermain tanpa bayar gaji…selesai masalah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan dialog bersama penyokong Kelantan di Kota Bharu, pada Isnin.

Bagaimanapun, Annuar tetap berharap keputusan tarik diri yang boleh dianggap satu mimpi buruk dalam sejarah bola sepak Kelantan sekiranya menjadi kenyataan, tidak akan berlaku apabila Kafa mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), Khamis ini.

Menurutnya, pada masa sekarang, beliau sendiri mengakui amat sukar untuk membantu Kafa mencari dana sebanyak RM15 juta demi menyelamatkan maruah bola sepak negeri itu.

“Saya kena berlaku jujur kepada diri sendiri. Setakat empat hingga tujuh juta saya boleh cuba ikhtiar tetapi kalau nak biarkan saya seorang cari duit 15 hingga 16 juta, memang tak mampulah.

“Saya tidak boleh ego, kena beritahu perkara betul. Saya bukan tengku mahkota atau menteri besar, hanya wakil rakyat sahaja. Apa salahnya orang lain cari jalan bantu Kafa, supaya kalau suka, suka sama-sama, kalau menang, menang sama-sama,” katanya.

Pada masa sama, Annuar turut mengulangi pendiriannya tidak akan kembali menerajui Kafa setelah melepaskan jawatan presiden secara mengejut, awal November lalu.

“Saya tak akan ambil semula (jawatan presiden). Ini pun dah keluar versi (letak jawatan) adalah drama terbaik hujung tahun. Jangan ingat saya suka berdrama….ini bukan drama, saya kata tak mampu kalau berlatih pun kena bayar (sewa stadium).

“Kena bezakan di antara pegang jawatan dan tolong pasukan. Itu dua perkara berbeza, jadi pertolongan pertama, saya sudah lakukan dengan memberi bantuan dalam bentuk bon jaminan RM3 juta. Pertolongan lain, itu saya tidak mahu mendahului kongres, kalau katakanlah saya beritahu nak tolong nanti pihak tertentu yang nak bantu Kafa tak nak tolong pula,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *