Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Korea Utara Enggan Beri Kerjasama – KPN

Korea Utara Enggan Beri Kerjasama – KPN

Pegawai Korea Utara tidak memberi kerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara itu berkata, pihaknya percaya Hyong Kwang-song, 44 yang juga setiausaha kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia dan kakitangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37 masih berada dalam negara ini.

Susulan itu, waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Uk-il minggu lalu.

Surat bagi mendapatkan kerjasama Kwang-song telah dihantar melalui Wisma Putra dan disampaikan kepada pihak Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai, Bukit Damansara.

Khalid berkata, pihaknya juga telah mendapatkan kerjasama Interpol untuk mengesan empat lagi rakyat Korea Utara yang telah meninggalkan negara ini sebaik kejadian pembunuhan Jong-nam berlaku.

“Kami telah hantar notis kepada Interpol dan ke mana sahaja mereka berada, Interpol akan rujuk kepada kita.

“Pihak berkuasa Korea Utara tidak memberi sebarang maklum balas walaupun kita telah mengemukakan permohonan supaya menyerahkan suspek kepada kita.

“Mereka tidak bekerjsama dalam siasatan kes ini,” katanya selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa Penguatkuasa Dadah Ke-34 di sini, Selasa.

Polis negara ini percaya empat dalam kes pembunuhan itu telah kembali ke Pyongyang.

Jong-nam dibunuh dua wanita yang menyerangnya menggunakan agen saraf VX semasa menunggu pesawat ke Macau di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

Wanita terlibat, rakyat Indonesia, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong telah didakwa kerana membunuh pada 1 Mac lalu.

 

Leave a Reply

Top