Koperasi komuniti di negara ini disaran memajukan tanah dimiliki mereka dengan projek perumahan bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah yang mendesak terutama dalam kalangan generasi muda.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi itu serta koperasi lain seperti koperasi keluarga dan koperasi kariah masjid mempunyai tanah luas yang boleh dibangunkan dengan projek perumahan untuk keperluan ahli mereka.

“Koperasi seperti ini perlu melihat keperluan menyediakan perumahan untuk ahli terutama anggota muda…selain memberikan impak positif kepada perniagaan koperasi, ia dapat juga menyelesaikan masalah pemilikan rumah terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kursus Induksi Koperasi Anggota Baharu Angkasa Pahang Zon 1 dan Zon 2 di sini, Khamis.

Katanya dengan menceburi sektor pembangunan hartanah, ia dapat memastikan generasi muda negara ini dapat memiliki rumah sendiri, sekali gus tidak perlu bersaing dengan pihak lain yang membeli rumah hanya sebagai aset dan bukan untuk didiami.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata setakat ini terdapat 8,500 koperasi yang berdaftar sebagai anggota Angkasa dan sebanyak 13,000 lagi koperasi baharu disasar akan berdaftar dengan agensi itu sehingga tahun depan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *