SEPANG, Jemaah haji akan menggunakan Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lokasi pengumpulan bagi menggantikan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor bermula tahun depan.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata dengan adanya Kompleks Tabung Haji KLIA yang dijangka siap hujung tahun ini, ia akan memudahkan perjalanan jemaah kerana lokasinya hanya 10 minit dari lapangan terbang berkenaan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa ini adalah tahun terakhir jemaah haji akan berkumpul di Kelana Jaya (Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya).

“Selepas ini semua urusan mengenai jemaah dan pusat pengumpulan akan dilaksanakan di Kompleks Tabung Haji KLIA,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan 268 jemaah haji terakhir di KLIA menaiki pesawat MH8325 dari Jeddah, Arab Saudi, di sini hari ini.

Kompleks yang dibina atas tapak seluas lima hektar itu dilengkapi hotel bertaraf empat bintang bagi keselesaan jemaah haji dan keluarga mereka berikutan pertambahan jumlah jemaah haji setiap tahun.

Selain itu, ia turut menyediakan kawasan meletak kenderaan lebih luas iaitu lebih 550 petak, sekali gus mengatasi masalah kesesakan yang sering berlaku setiap tahun di kompleks di Kelana Jaya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez turut mengumumkan bahawa surat tawaran bagi menunaikan haji pada tahun depan akan mula dikeluarkan selewat-lewatnya November ini, secara berperingkat sehingga Mei tahun depan.

“Sebanyak dua juta permohonan diterima untuk menunaikan haji dan dari segi kuota haji, kita berharap ada penambahan selain kuota yang kita sudah dapat iaitu sebanyak 30,200, dikekalkan,” katanya.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *