KOTAKINABALU, “Saya membuat kajian mendalam, termasuk membaca Hansard Parlimen United Kingdom 1963 kenapa timbul isu 31 Ogos dan kenapa timbul isu 16 September?,” kata penulis buku Kod 1963, penganalisis politik Sabah, Musli Oli.

Buku Kod 1963 ini agak misteri tajuknya dan yang mencetuskan idea dalam diri Musli  sebenarnya hasil beberapa siri perbincangan antara beliau dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia , Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Datuk Salleh kata, ada beberapa isu di Sabah ini yang kadang-kadang kita anggap remeh tapi disensasikan semata-mata untuk menimbulkan semangat marah dan benci terhadap pihak-pihak tertentu,” katanya.

Tambah Musli, dalam satu dialog antara Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini, isu tersebut turut dibangkitkan oleh peserta.

Salleh melancarkan buku Kod 1963 semalam.

“Dalam Parlimen Britain telah diputuskan bahawa pembentukan Malaysia ialah 31 Ogos 1963, serentak tarikh yang sama dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Sebenarnya pihak Inggeris sudah meramalkan akan timbul beberapa isu sekiranya tarikh pembentukan Malaysia dan tarikh pembentukan Tanah Melayu itu berbeza, tapi itu sudah jadi sejarah,”kata Musli.

Beberapa orang aktivis yang hadir dalam dialog tersebut turut mempersoalkan tentang  Gabenor Borneo Utara Sir William Goode yang masih berada di Sabah sehingga 15 September dan bendera British, Union Jack yang belum diturunkan.

“Ketika itu, Britain ingin memastikan segalanya berjalan dengan lancar dan setelah terbukti barulah bendera diturunkan dan mereka terus meninggalkan negeri Sabah untuk balik ke England.

“Jadi sebenarnya 31 Ogos 1963 itu hari kemerdekaan negeri Sabah. Itu fakta. Kalau bukan fakta sudah tentu semasa perbarisan kemerdekaan 16 September 1963 Tun Mustapa dan Donald Stephen tidak bersama kerana mereka telah pun dilantik sebelum tarikh itu.

(Tun Mustapha Datu Harun merupakan Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang pertama, sementara Tun Haji Mohammad Fuad Stephens pula Ketua Menteri Sabah yang pertama dan kelima)

Tambahnya, antara syarat bagi menubuhkan sebuah sistem federal memerlukan sesebuah kerajaan itu merdeka terlebih dahulu sebelum diputuskan sama ada boleh menyertai gabungan atau sebaliknya.

Apa pun, menurut Musli, isu yang timbul selepas itu hanyalah sekadar pendapat. Ia hanya isu yang cuba dibangkitkan oleh pihak yang berniat untuk menimbulkan kemarahan dan rasa benci, tanpa kita sedar bahawa kita juga merdeka pada 31 Ogos 1963.

Musli berkata penjelasan lebih lanjut berhubung perkara itu dikupas dengan terperinci dalam buku Kod 1963.

Pelancaran buku Kod 963 disempurnakan oleh Salleh di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada Jumaat.

Jelas Salleh, buku Kod 1963 ini amat menarik dan beliau menggalakkan masyarakat supaya membacanya kerana subjek pembentukan sesebuah negara itu sangat rumit dan emosional.

“Kadangkala dalam hidup ini kita kena pastikan pemikiran itu melangkaui perasaan, kita cuba lihat isu ini dalam sudut yang pelbagai.

“Ia bertujuan untuk memperjuangkan hak negeri ini yang juga hak kita bersama agar tidak dimonopoli oleh mana-mana pihak, ahli politik atau individu tertentu,” kata Salleh.

-Malaysiaaktif-

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *