Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KKLW Yakin Peruntukan Masyarakat Luar Bandar Tidak Dipotong

KKLW Yakin Peruntukan Masyarakat Luar Bandar Tidak Dipotong

mh online

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yakin peruntukan terhadap kementerian itu tidak dikurangkan berikutan keputusan kerajaan akan mengubah suai Bajet 2016, akhir bulan ini.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat khususnya masyarakat luar bandar kerana ia antara agenda kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

“Secara peribadi, saya yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan sentiasa prihatin dan faham denyut nadi masyarakat di luar bandar.

“Malah, Perdana Menteri meletakkan rakyat di luar bandar dalam kelompok B40, iaitu golongan yang akan sentiasa diberi perhatian pada pembentangan Bajet 2016 Oktober lepas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) dan Himpunan J3K Wilayah Ketengah di Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah, dekat sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Ketengah, Omar Ismail.

Ahmad Jazlan berkata rakyat tidak perlu risau dengan keputusan bakal dibuat kerajaan itu kerana sudah pasti ia tidak akan menjejaskan segala program dan projek yang dirancang oleh kementerian untuk pembangunan masyarakat luar bandar.

“Beliau (Perdana Menteri) tahu apa yang dilakukan (melakukan pengubahsuaian bajet) demi kepentingan rakyat kerana beliau seorang yang sangat sensitif dengan kepentingan dan keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata sebanyak 647 buah kampung dari seluruh negara menyertai pertandingan berkenaan.

Di Terengganu, Kampung Pasir Gajah, Kemaman memenangi lima daripada 14 kategori dipertandingkan – Johan Desa Wawasan, Aspek Ekonomi dan Keusahawanan, Aspek Patriotisme dan Kemerdekaan, Aspek Pendidikan dan Latihan serta Aspek Khas Biodiri.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top