Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasarkan nilai kontrak bernilai RM10 juta ditandatangani antara usahawan desa dengan pemain industri utama dalam dan luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkembangan positif itu dapat dicapai selepas berakhirnya Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

Selain itu, katanya, KKLW menyasarkan nilai jualan secara langsung usahawan berkenaan berjumlah RM3 juta menerusi pembabitan mereka dalam KUD tahun ini.

“KUD yang diadakan secara dwitahunan sejak 2006, berjaya menghimpunkan 721 usahawan desa tahun ini mendapat platform untuk berinteraksi dengan pemain industri utama negara seperti Tesco, Mydin dan AEON selain usahawan dari Jepun.

“Ini hasil jangka panjang, selain memastikan produk dipasarkan di dalam dan luar negara sejajar dengan tema KUD tahun ini iaitu ‘Usahawan Desa, Produk Global’.

“Kita mahu produk tempatan jika tidak lebih baik daripada produk luar, sekurang-kurangnya mempunyai kualiti yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada KUD 2017 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Turut hadir, dua Timbalan Menteri KKLW ialah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Pada masa sama, Ismail Sabri berharap pihaknya dapat mengubah persepsi negatif orang ramai mengenai mutu produk tempatan menerusi penganjuran KUD.

“Usahawan sedia ada sudah melalui saringan, hanya produk berkualiti dijual di KUD.

“Orang ramai dan pemain industri boleh menilai sendiri,” katanya .

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *