Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > KKLW Ceburi Bidang Pelancongan Desa

KKLW Ceburi Bidang Pelancongan Desa

TANJUNG MALIM, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan melibatkan diri dalam pelancongan desa melalui program RuralTourism@KKLW yang dijangka dilancarkan pada Mei ini, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saya akan lancarkan RuralTourism@KKLW dalam bulan Mei nanti, di mana lokasinya saya masih tidak tahu. Insya-Allah kita akan bercakap lebih terperinci mengenai program ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian ‘Ecotourism ESPEK’ di Ladang Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Ulu Slim dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Ecotourism ESPEK yang berkeluasan lima hektar adalah milik Espek Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh RISDA.

Menurut Ismail Sabri, di bawah program RuralTourism@KKLW diperkenalkan nanti, usahawan-usahawan luar bandar serta industri inap desa (homestay) akan diberi penekanan sewajarnya.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak koperasi kampung misalnya, untuk kita jadikan kampung mereka sebagai pusat homestay. Ini kerana homestay tidak melibatkan pembinaan kabin atau chalet, tetapi menggunakan rumah kampung yang sedia ada,” katanya.

Katanya pelancongan harus disusuli dengan aktiviti dan disebabkan itulah, pengusaha inap desa diminta mempunyai daya kreatif dengan mengadakan aktiviti-aktiviti sampingan yang mampu berterusan menambat hati para pelancong.

“Tak boleh ada tempat tinggal semata-mata di mana pada siang ada aktiviti tetapi sebaliknya pada sebelah malam. Jadi akan menyebabkan mereka (pelancong) bosan,” katanya.

Mengulas mengenai lawatannya ke Ecotourism ESPEK, Ismail Sabri berkata kawasan itu mampu menjadi destinasi pilihan buat individu yang gemarkan aktiviti lasak berikutan ianya mudah diakses melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui susur keluar Slim River.

Ecotourism ESPEK menyediakan kemudahan untuk aktiviti seperti berkhemah, berkayak, berakit redah jeram, menunggang ATV (All Terrain Vehicle), motocross, cabaran pacuan empat roda, flying fox dan meredah hutan.

Malah katanya kewujudannya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung tempatan bagi menambah pendapatan di samping mengurangkan migrasi anak-anak muda ke bandar mencari pekerjaan.

Sementara itu Zahidi berkata Ecotourism ESPEK merupakan projek hilirannya yang kelima selepas projek Boe, Pellet, Bboe Tricho dan Akademi Espek.

Katanya syarikat tersebut yang sememangnya tidak asing dalam kalangan pengusaha industri kelapa sawit, telah memperoleh hasil memberangsangkan iaitu 16.09 tan metrik per hektar pada tahun lalu meskipun berdepan fenomena El-Nino.

“Malah angka ini melebihi purata Semenanjung Malaysia (yang disasarkan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) iaitu 15.77 tan metrik per hektar,” katanya.

Leave a Reply

Top