Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Malaysia tidak pernah menggunakan konsep negara Islam yang dilaksanakan di negara Taliban atau mana-mana republik Islam lain, sebaliknya dasar dilaksanakan memiliki keunikan tersendiri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Perlembagaan Persekutuan menjamin keunikan konsep negara Islam dilaksanakan Malaysia, dengan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan serta memberi kebebasan bagi agama lain untuk diamalkan.

Katanya, keunikan itu juga menarik negara lain untuk mencontohi model negara Islam Malaysia, selain menjadi faktor bagi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di negara ini.

“Kita bukan negara sekular. Nak kata kita negara Islam pun tiada masalah tetapi yang pasti, model negara Islam Malaysia bukan seperti negara Taliban, republik Islam Pakistan, Arab Saudi atau mana-mana negara lain.

“Namun, label ini tidak penting, sebaliknya pelaksanaan. Kita negara Islam yang unik. Saya pernah berulang kali bertanya mengapa wakil Raja Salman, mengapa Malaysia dipilih sebagai lokasi KSCIP.

“Beliau berkata, negara ini adalah wajah sebenar Islam. Islam agama yang mempromosikan keamanan, wasatiyyah, seimbang, sederhana, mengiktiraf kewujudan bersama. Semua ciri ini tiada dalam negara kami (Arab Saudi), tetapi ada di negara kamu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum Mendaulatkan Institusi Raja Dalam Perspektif Agama sempena Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, umat Islam boleh mengembangkan agama itu dengan bebas di negara ini kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Malaysia sebagai negara sekular.

“Contohnya, Turki memiliki 98 peratus penduduk beragama Islam, berbanding kira-kira 60 peratus sahaja rakyat Malaysia.

“Tetapi disebabkan Perlembagaan negara itu meletakkan Turki sebagai negara sekular, kerajaannya tidak boleh membuat dasar atau membelanjakan peruntukan ke arah sesuatu berunsur agama,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, peruntukan yang membolehkan Islam dikembangkan di negara ini, adalah hasil hasil perjuangan UMNO, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti keramat itu.

“Perlembagaan UMNO adalah cerminan kepada Perlembagaan Persekutuan. Fasa 3 Perlembagaan parti menyebut antara tujuan dan matlamat perjuangan UMNO adalah mendaulat, mengembang dan mempertahankan Islam.

“UMNO juga satu-satunya yang tidak menggunakan istilah parti pada namanya, kerana ia adalah gabungan 41 pertubuhan Melayu dan Islam pada 1946 yang mencorakkan Perlembagaan UMNO yang ada ketika ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *