Apakah pahlawan Melayu Hang Tuah itu benar-benar wujud dalam sejarah tamadun Melayu atau hanya mitos?

Persoalan itu terjawab hari ini bila ahli-ahli akademik dalam bidang sejarah dan kesusasteraan Melayu memperakui kewujudan tokoh legenda negara itu berdasarkan penemuan data primer seperti bukti dalam bentuk artifak dan catatan bertulis.

Data dan catatan bertulis itu menerusi kajian dilakukan di dalam dan luar negara, dibentangkan di dalam perbincangan meja bulat “Kedudukan Hang Tuah dalam Sejarah Tamadun Melayu”, di sini.

Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata wacana ilmiah itu diadakan bertujuan bagi meleraikan persoalan tentang kesahihan dan kewujudan Laksamana Hang Tuah apabila timbul keraguan terhadap nama ‘Tuah’ yang telah menjadi lambang kewiraan Melayu sejak abad ke-15.

Yayasan Karyawan ditubuhkan bagi mengkaji dan menerbitkan karya agung Melayu, karya agung dunia Melayu dan karya agung dunia di dalam bahasa Melayu.

Ahmad Sarji berkata, “Ahli akademik dari bidang sejarah dan kesusasteraan Melayu telah sekian lama menyatakan pendapat mereka berhubung kedudukan dan kewujudan Hang Tuah dalam tamadun Melayu.

“Hang Tuah wujud dan merupakan lambang keperwiraan bangsa Melayu yang telah terpahat dalam sanubari orang Melayu dari generasi ke generasi,” katanya selepas mempengerusikan majlis itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad seterusnya berkata kajian menyeluruh akan terus giat dilakukan oleh pengkaji sejarah negara bagi mengukuhkan lagi fakta berhubung kewujudan Hang Tuah.

Perbincangan itu turut disertai para cendekiawan sejarah dan kesusasteraan Melayu, pengkaji sejarah, ahli akademik dari institusi pengajian tinggi dan wakil badan-badan bukan kerajaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *