Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kesukaran Hidup Dorong Pengeluaran Sos Cili Cik Latipah

Kesukaran Hidup Dorong Pengeluaran Sos Cili Cik Latipah

mh online

Kesusahan hidup dan pendapatan ibarat kais pagi makan pagi bukan alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat Latipah Azir, 49, bergelar usahawan Bumiputera yang berjaya.

Ibu kepada dua anak itu nekad membuka syarikat Ipah Jaya Enterprise di sini dan mengeluarkan sos cili jenama ‘Latipah’ sejak sembilan tahun lalu hasil sokongan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.

Beliau berkata masalah kewangan keluarga mula timbul selepas kilang tempat beliau bekerja sebelum ini menutup operasinya dan suaminya Ahmad Ali Tagon, 59, pula hanya bekerja sebagai kakitangan biasa di Lembaga Air Perak di Teluk Intan.

“Semua bermula apabila seorang rakan mengajak saya pelajari resepi membuat sos cili. Lama-kelamaan, setelah berjaya menambat selera jiran-jiran barulah saya menjual produk saya di kawasan sekitar.

“Bermula modal RM50 dengan hanya seperiuk kecil adunan cili pada sembilan tahun lalu, saya telah menjual sebotol sos cili dengan harga RM1.50,” katanya.

Latipah berkata ketika ini syarikatnya mengeluarkan antara 8,000 hingga 9,000 botol sos cili setiap bulan dengan pendapatan kira-kira RM60,000 setahun.

“Dengan adanya mesin yang canggih, setiap 20 kilogram cili mampu mengeluarkan kira-kira 1,200 botol sos cili sehari,” katanya.

Latipah berkata lebih membanggakan, produknya telah memenangi beberapa anugerah termasuk Pemprosesan Hasil Pertanian Kategori Sos Cili Biasa Terbaik pada 2010.

Katanya sos cili Latipah bukan sahaja semakin mendapat permintaan di pasaran tempatan termasuk Sabah, malah telah berjaya menembusi pasaran Singapura menerusi Program FAMA Agrobazaar.

Selain sos cili, syarikatnya turut mengeluarkan sos pencicah, serondeng ikan bilis dan mee kuning, katanya.

Leave a Reply

Top