Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kes Curi Kenderaan Menurun 42%

Kes Curi Kenderaan Menurun 42%

KUALA LUMPUR, Kes kecurian pelbagai jenis kenderaan yang merentasi sempadan Malaysia-Thailand menurun 42 peratus daripada 2012 sehingga tahun lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata perkembangan positif itu hasil kerjasama pasukan polis kedua-dua negara yang akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi kepentingan bersama.

Menurut Mohamad Fuzi, pada 2012 sebanyak 71,981 kes curi kenderaan dilaporkan manakala bagi tahun 2016 sebanyak 48,411 kes dan tahun lepas 42,154 kes kecurian kenderaan.

“Ini merupakan hasil kerjasama erat dengan terjalinnya penubuhan Sekretariat Aseanapol yang memberi fokus kepada jenayah rentas sempadan termasuklah penyeludupan dadah dan senjata api.

“Perkembangan terkini Polis Diraja Thailand (RTP) berjaya merampas 20 kereta mewah yang dianggar bernilai RM3 juta di negara berkenaan yang diseludup dari Malaysia,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis perasmian pejabat Sekretariat Aseanapol dan Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif Sekretariat Aseanapol, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sindiket curi kereta dari Malaysia yang menjadikan Thailand sebagai pusat transit bagi kenderaan yang mereka curi sebelum menyeludupnya ke negara lain di rantau ini seperti Laos, Kemboja dan Vietnam.

Pada Selasa lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd mendedahkan sejak 2015, RTP merampas lebih 100 kenderaan yang dicuri di Malaysia dan menyerahkannya kepada Polis Diraja Malaysia.

Leave a Reply

Top