Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan tiada keperluan untuk parti komponen Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bertukar kerusi setakat ini.

Bagaimanapun katanya jika ada, keputusan akan dibuat oleh pucuk pimpinan pusat.

“Di Negeri Sembilan, apa yang ada setakat hari ini, saya tidak nampak adanya pertukaran kerusi tetapi tidak semestinya ia tidak akan berlaku kerana pembahagian kerusi dilakukan di peringkat pusat.

“Saya tidak kata jaminan bahawa tidak akan berlaku pertukaran kerusi di negeri ini walaupun saya nampak tidak ada alasan atau sebab untuk ia berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ditanya sama ada akan berlaku pertukaran kerusi antara parti komponen BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, beliau berkata pada masa ini isu pokok bukan calon atau parti mana yang patut bertanding di sesuatu kawasan, tetapi gerak kerja parti-parti komponen bagi menjamin kemenangan BN.

“Yang penting adalah parti BN, sama ada UMNO dan rakan-rakan lain mesti buat kerja untuk pastikan kita jadi mata dan telinga rakyat dalam menyampaikan maklumat kepada kerajaan… dan sebagai ejen menyalurkan informasi yang tepat kepada masyarakat agar mereka tidak terus keliru dengan maklumat yang tidak tepat.

“Janganlah bila dengar nak dekat PRU baru keluar. Kena buat kerja sepanjang masa agar masyarakat dapat melihat dan berasa selesa… masalah rakyat dan isu rakyat mesti kita terus perjuangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata berdasarkan kad laporan bulanan yang diterimanya, prestasi 21 wakil rakyat BN di Negeri Sembilan adalah memuaskan.

“Tidak timbul isu saya tidak tahu apa mereka buat, report card saya terima, pejabat saya terima dan kita pantau,” katanya.

Pada PRU-13, BN menguasai 22 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *