Kerjasama Proton dengan rakan strategik asing dilihat mampu memaksimumkan kapasiti pembuatan di kedua-dua kilangnya, sekali gus membolehkan syarikat kereta nasional itu bersaing secara lebih efektif di pasaran serantau dan global.

Perkongsian tersebut juga akan membolehkan Proton bersaing dengan pengeluar kereta terkemuka seperti Honda, Toyota dan sebagainya.

Pengarah Institut Penyelidikan Perbankan dan Kewangan Asia Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata Proton tidak mempunyai pilihan selain melakukan satu anjakan paradigma dari segi pengurusan syarikat memandangkan populasi negara yang terhad kepada 30 juta orang, tidak dapat memberi skala ekonomi untuk Proton bersaing di peringkat antarabangsa.

Menerusi usaha sama dengan rakan strategik asing (FSP), beliau berkata Proton bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran dan jumlah jualan, malah turut mampu mengembangkan bahagian pasarannya.

 “Sudah tiba masanya Proton perlu mencari rakan kongsi supaya mereka boleh bersama-sama membina kapasiti dan tidak bergantung kepada kerajaan pada masa hadapan,” katanya dalam satu temu bual, Rabu.

Bahagian pasaran Proton jatuh mendadak kepada hanya 14 peratus kini berbanding 63-64 peratus pada tahun 1990-an.

Irwan, yang juga Pensyarah Jabatan Ekonomi, Universiti Utara Malaysia, berkata usaha sama tersebut juga memberikan kelebihan kepada FSP yang berhasrat untuk menjadikan kilang Proton sebagai pangkalan bagi menembusi pasaran Asean.

Ini bakal menguntungkan Proton menerusi pemindahan teknologi yang memberi nilai tambah kepada vendor-vendor tempatan dari segi kepakaran pengurusan jurutera tempatan.

“Kita mungkin boleh mempelajari kemahiran pengurusan dan budaya kerja mereka. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti Proton pada masa hadapan,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, Irwan berkata usaha sama Proton-FSP dilihat mampu menyelamatkan ekosistem vendor Proton memandangkan permintaan bagi komponen kenderaan syarikat itu susut dengan ketara, susulan jumlah jualan yang terlalu rendah berbanding sasaran.

“Jadi, kalau kita tidak ada usaha sama dengan FSP, kemungkinan operasi vendor ini akan terhenti kerana sasaran jualan yang telah pun ditetapkan tidak tercapai.

“FSP akan menambah pelaburan dalam Proton, meningkatkan aktiviti vendor-vendor Proton, serta menjana pekerjaan,” katanya.

Irwan berkata sekiranya kapasiti kilang Proton di Tanjung Malim dan Shah Alam disatukan, pengeluaran akan meningkat kepada 400,000 unit.

Ini sekali gus membolehkan Proton meneroka pasaran yang lebih luas seperti yang terdapat dalam Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan jumlah penduduk lebih daripada tiga bilion.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *