Kerajaan tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan termasuk usaha memburukkan industri sawit negara yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, Malaysia akan memastikan maklum balas sewajarnya diberikan kepada pihak yang cuba memburukkan industri berkenaan bagi semua pemain industri terutamanya 650,000 pekebun kecil di negara ini.

Beliau berkata, meskipun Malaysia merupakan pemain penting dalam industri minyak sawit global dengan menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit dan jumlah nilai eksport kira-kira RM70 bilion tahun lalu, namun industri berkenaan turut menghadapi beberapa cabaran seperti kempen anti-sawit dengan pengguna khususnya di negara Kesatuan Eropah seperti pelabelan `Palm Oil Free’ yang mengenepikan industri tersebut.

“Kita tidak boleh berdiam diri lagi. Kita perlu memberi maklum balas terhadap semua kempen negatif minyak sawit. Kita harus respon secara rasional dengan mengemukakan fakta dan statistik mengenai isu pemusnahan hutan dan hidupan liar.

“Malaysia juga mesti terus maju ke hadapan dengan mengadaptasi pensijilan yang mampan dan amalan pertanian terbaik. Kita harus menjenamakan minyak sawit dengan baik kerana ia adalah minyak yang serba guna dan berkhasiat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Anugerah Kepemimpinan Industri Minyak Sawit (PILA) 2017, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; Timbalannya, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor.

Dalam majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Kepemimpinan Industri Minyak Sawit Ke-10 kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Tan Sri Dr. Yusof Basiron dan

Ahmad Zahid turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Seumur Hidup Industri Minyak Sawit kepada Ketua Pegawai Operasi Felda Global Ventures Holdings (Sektor Perladangan), S. Palaniappan.

PILA 2017 dianjurkan bagi memberi pengiktirafan kepada pemimpin dan individu yang memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan industri sawit negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga harus berada di hadapan dengan menerokai teknologi-teknologi baharu untuk menambah nilai kepada industri minyak sawit dalam menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

“Sebagai contoh, terdapat keperluan segera untuk menerokai penjenteraan, pertanian dan automasi ketepatan dalam sektor huluan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

“Pertambahan dalam produktiviti juga akan membawa peningkatan dalam pulangan dan kerajaan telah menyediakan dana serta insentif untuk mengalakkan penjenteraan dan automasi. Malah, kerajaan tidak akan berhenti begitu sahaja sebaliknya mencari pendekatan baharu untuk membantu peladang dan komoditi untuk mendapatkan harga dan akses pasaran dunia yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, kata beliau, industri minyak sawit juga perlu serius mempertimbangkan untuk mengadaptasi teknologi maklumat untuk memastikan minyak sawit dihasilkan secara mampan dan dilihat sebagai produk lestari.

“Langkah ini juga akan menghentikan kritik terhadap minyak sawit itu. Jadi, kita harus memanfaatkan teknologi baharu dan pengalaman 100 tahun yang ada pada kita bagi membolehkan Malaysia terus berada di hadapan untuk memastikan keselamatan makanan di peringkat negara dan global,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menggesa MPOC meningkatkan usaha-usaha penyelidikan terutamanya memberi tumpuan terhadap penyelidikan berteraskan komersial agar membawa lebih nilai kepada industri minyak sawit.

“Apabila penduduk dunia berkembang pesat, terdapat ruang untuk pertumbuhan industri minyak sawit. Oleh itu, kita harus bekerja keras dengan membuka pasaran eksport baharu dan mengukuhkan kedudukan negara kita di pasaran semasa yang mana kita mempunyai kedudukan yang baik.

“Adalah menjadi kewajipan kita semua untuk memastikan Malaysia kekal sebagai pemain utama dalam r&d dan inovasi serta  terus komited terhadap minyak sawit yang dihasilkan secara mampan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *