Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Sentiasa Prihatin Masalah Pendidik

Kerajaan Sentiasa Prihatin Masalah Pendidik

Kerajaan sentiasa prihatin terhadap setiap keperluan dan permasalahan dihadapi golongan pendidik dalam usaha melahirkan modal insan generasi Y, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, untuk melahirkan modal insan perlukan kerjasama semua pihak termasuk komuniti selain ibu bapa.

“Saya difahamkan peranan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) dalam membangun modal insan ini semakin rancak dan padu.

“PIBK telah memainkan peranan penting dalam memberikan pelbagai idea untuk memperkasakan lagi prasarana di setiap sekolah… sumbangan itu harus diberi penghargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Program Saringan Literasi dan Numerasi (Linus) dan Anugerah PIBK di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 2 di sini, hari ini.

Menurutnya pelan pendidikan kebangsaan juga telah mengariskan untuk memperkasakan pendidikan luar bandar serta merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar

Mengulas tentang majlis itu, beliau berkata ia sangat bertepatan untuk mengiktiraf pencapaian sekolah di daerah ini yang telah mencapai sifar Linus dan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI)  yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Pada majlis itu, Salleh yang juga Adun Usukan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM11,000 untuk menjalankan pelbagai aktiviti di SMK Taun Gusi 2.

Leave a Reply

Top