Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Sedang Usahakan Sesuatu Selesai Isu Kim Jong Nam – KPN

Kerajaan Sedang Usahakan Sesuatu Selesai Isu Kim Jong Nam – KPN

KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kerajaan sedang melakukan sesuatu untuk menyelesaikan isu pembunuhan Kim Jong-nam dan mahu semua pihak termasuk media bersabar.

“Sesuatu sedang berlaku, kita minta media bersabar sedikit. Apabila sampai masa akan ada kenyataan yang akan dibuat.

“Sebarang kenyataan buat masa ini akan mengganggu perancangan yang sedang dirancang.

“Kalau tidak (dilakukan) oleh saya atau polis pun, (kenyataan) mungkin oleh pihak-pihak lain,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Bingkisan Kasih anjuran Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), bersama Ketua Polis Negara di Menara MITI, di sini.

Pada majlis itu, Khalid turut dianugerahkan Anugerah Tokoh Satria Negara oleh PKOB.

Khalid yang enggan mengulas lanjut mengenai ‘apa’ perancangan itu turut meminta media tidak memberi liputan yang terlalu meluas berhubung isu berkenaan supaya tidak menjejaskan perancangan yang sedang dilakukan itu.

Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu oleh dua wanita menggunakan agen saraf VX.

Susulan itu, hubungan diplomatik antara Korea Utara dan Malaysia terjejas berikutan kenyataan yang diberikan bekas Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol.

Pada 4 Mac lalu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kang Chol sebagai ‘Persona Non Grata’ selepas beliau gagal hadir apabila dipanggil oleh Wisma Putra.

Beliau meninggalkan Malaysia pada 6 Mac lalu.

Rentetan itu, kerajaan Korea Utara pula mengisytiharkan duta Malaysia di sana sebagai Persona Non Grata dan mengeluarkan sekatan ke atas sembilan kakitangan kedutaan dan ahli keluarganya keluar dari negara itu.

Leave a Reply

Top