Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Pusat Tetap Utamakan Kebajikan Rakyat – Salleh

Kerajaan Pusat Tetap Utamakan Kebajikan Rakyat – Salleh

mh online

Kerajaan Persekutuan akan tetap mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat meskipun negara berdepan dengan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata ini terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 yang mengambil kira keluhan rakyat terhadap bebanan kos sara hidup pada masa ini.

“Dalam apa keadaan dan situasi pun, kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan kita. Malahan, inilah yang ditekankan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016.

“Saya percaya penerangan yang jelas perlu diberi kepada rakyat, termasuk di kawasan luar bandar, bagi mengelak pemikiran mereka keliru atau dikelirukan, terpesong atau dipesongkan, oleh pihak-pihak yang cuba menanguk di air yang keruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan malam meraikan kunjungan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke daerah Kota Belud di Kampung Taun Gusi, dekat sini, malam Ahad.

Salleh berkata kementeriannya sedia bekerjasama dengan semua kementerian, termasuk KKLW untuk memberi penjelasan kepada rakyat di peringkat akar umbi mengenai rasional pengubahsuaian Bajet 2016.

Beliau percaya kementeriannya dan KKLW mempunyai tanggungjawab bersama untuk memberi penerangan kepada rakyat kerana kedua-dua kementerian berkenaan mempunyai jaringan luas di luar bandar.

Beliau juga yakin KKLW mampu membawa perubahan besar kepada pembangunan masyarakat luar bandar menerusi program transformasi ‘Membandarkan Kawasan Luar Bandar’ selain usaha berterusan membela kepentingan kaum Bumiputera.

Leave a Reply

Top