Kerajaan mempertimbang menambah peruntukan untuk sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bajet 2018 yang akan dibentang pada Oktober ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz.

Katanya, ia bagi melahirkan lebih ramai belia berkemahiran yang mampu memenuhi pasaran kerja memandangkan TVET sudah menjadi tumpuan kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kementerian Pelajaran sendiri dalam pelbagai persidangan antarabangsa telah mengemukakan pandangan, cadangan dan hala tuju mengenai TVET di negara ini.

“Saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan meneruskan keutamaan peruntukan belanjawan negara tahun depan dalam TVET,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival MyHingaq 2017 di Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini, hari ini.

Dalam Bajet 2017 yang lalu, kerajaan memperkasakan kapasiti pendidikan TVET melalui peruntukan RM4.6 bilion kepada institusi-institusi TVET.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian akan mengkaji langkah terbaik dalam memastikan  kelangsungan Kolej KEDA dan kolej-kolej seumpamanya yang sebelum ini berjaya melahirkan graduan dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran.

“Kita difahamkan kolej ini mengalami sedikit kekangan kewangan di mana ia memerlukan sekurang-kurangnya RM4 juta setahun untuk memastikan operasinya berjalan lancar.

“Kita akan cari jalan penyelesaian terbaik kerana kita tidak mahu sekiranya masalah ketiadaan dana akan menyebabkan pengurangan jumlah kursus atau pengambilan pelajar terpaksa dihentikan,” katanya.

Karnival MyHingaq 2017 yang diadakan selama sehari itu memberi peluang kepada penduduk setempat terutama golongan belia dan pelajar mendapat maklumat mengenai program-program dalam bidang kemahiran, teknikal serta keusahawanan yang ditawarkan oleh Kolej KEDA.

Lebih daripada 1,000 orang mengunjungi karnival tersebut yang turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti perkhidmatan membaiki motosikal, pameran dan pemeriksaan kesihatan dan jualan produk dan hasil pelajar dan kenduri rakyat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *