Kerajaan akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkelayakan untuk mengendalikan Rumah Perlindungan bagi mangsa pemerdagangan orang bermula bulan ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, sebelum ini mangsa pemerdagangan orang hanya ditempatkan di Rumah Perlindungan Kerajaan di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di bawah kawal selia Pegawai Pelindung Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Dalam aspek perlindungan mangsa ini, peningkatan ketara dapat dilihat menerusi kerjasama Kerajaan dan NGO di mana kerajaan bersetuju melantik 12 individu dari kalangan NGO untuk menjadi Pegawai Pelindung kepada mangsa yang diperdagangkan.

“Tindakan ini selaras selaras dengan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, susulan kepada persediaan kita menjelang penilaian Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2017 yang dijangka diumumkan oleh Setiausaha Negara AS pada pertengahan tahun ini.

“Laporan ini merangkumi pencapaian negara berkaitan aspek kritikal disarankan pihak AS termasuk komponen penting dalam membenteras jenayah pemerdagangan orang seperti aspek dasar, pencegahan, penguatkuasaan, pendakwaan dan perlindungan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan itu menyusuli Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Bilangan 1 Tahun 2017 Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), dipengerusikan Ahmad Zahid dan dihadiri menteri, timbalan menteri serta ketua jabatan yang juga ahli MAPO.

Malaysia sudah dua kali membuat pindaan bagi memperkasakan ATIPSOM 2007 pada tahun 2010 dan 2015, turut disokong oleh Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Pemerdagangan Orang 2016-2020 yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada pertengahan 2016.

Kata Ahmad Zahid, Malaysia menyambut baik sokongan dan kerjasama berterusan yang diberi Kedutaan Besar AS di sini dalam usaha negara untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang.

“Sehubungan itu, Malaysia berharap kerjasama erat sebegini akan dapat menambah baik inisiatif negara bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang, sekali gus membantu Malaysia memperbaiki kedudukan dalam (JNAS) mengenai pemerdagangan orang bagi tahun 2017,” katanya.

Menyentuh mengenai pencegahan dan penguatkuasaan, Ahmad Zahid berkata kerajaan ingin mengucapkan tahniah kepada Pasukan Task Force ATIPSOM atas kejayaan operasi bersepadu ke atas kilang pemprosesan sarang burung walet di Klang, Selangor pada 28 Mac lalu.

Operasi bersepadu yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Kerajaan juga bersetuju melanjutkan tempoh pengoperasian Task Force sehingga Disember 2018.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *