Kerajaan Perak memberikan insentif RM100,000 kepada Khairul Idham Pawi sebagai mengiktiraf kejayaannya selepas mencipta sejarah menjadi pelumba Malaysia memenangi Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina, pada 3 April lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata insentif itu diberikan kepada beliau sebagai pendorong untuk lebih berjaya sekali gus menjadi idola dan contoh kepada anak-anak muda yang lain.

Beliau juga ingin menjelaskan sebelum ini, pihak kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM60,000 kepada beliau sebagai pembiayaan beliau ketika berada di negara berkenaan.

“Sebelum beliau pergi, beliau ada membuat permohonan melalui Abdullah Fauzi (Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah) dan perkara itu disampaikan sendiri kepada saya oleh Datuk Shahrul Zaman Yahya (Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri).

“Kita telah meluluskan sebanyak RM60,000 sewaktu itu, namun kebetulan ketika itu beliau sudah pun bertolak ke Argentina dan wang yang diluluskan itu telah masuk ke Pusat Khidmat Kampung Gajah. Dengan kejayaan beliau ini kita tambah lagi sebanyak RM40,000 sebagai pengiktirafan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Khairul, yang mewakili pasukan Honda Team Asia mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam perlumbaan 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo, sekali gus menyaksikannya memungut 25 mata untuk melonjak pada kedudukan keempat dari tempat ke-22 selepas dua pusingan.

Sehubungan itu, Zambry dengan tegas berkata isu seperti wang pembiayaan tidak perlu diperbesar-besarkan seolah-olah kerajaan negeri hanya membantu Khairul Idham selepas beliau berjaya.

“Adalah tidak wajar pihak-pihak di luar sana untuk membuat penilaian seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau telah meminta semua exco kerajaan negeri untuk melihat dan mengkaji daerah atau kawasan yang sesuai untuk dijadikan litar sukan permotoran selepas mendapat sambutan yang baik daripada golongan belia atas kejayaan Khairul Idham.

“Komen yang diterima di Facebook saya mengenai kejayaan Khairul Idham begitu baik sekali, ramai anak-anak muda yang inginkan litar sendiri di kawasan masing-masing. Walaubagaimanapun, idea ini kita akan perincikan.

“Saya telah meminta kepada exco yang bertanggungjawab dan exco yang lain, untuk lihat kemungkinan ada atau tidak daerah lain yang boleh kita wujudkan litar seperti ini.

“Kita juga ada satu kawasan litar yang akan dibangunkan di Simpang Pulai. Dalam masa yang sama, dengan kewujudan kawasan litar ini dapat mengurangkan perlumbaan haram di kalangan anak-anak muda,” katanya.

Khairul Idham memulakan kerjaya sebagai pelumba pada 2012 dengan menyertai perlumbaan ‘Honda One Make Series’ sebelum memenangi juara kategori Wira Cub Prix pada tahun 2013, diikuti kejuaraan pada Asia Dream Cup setahun kemudian.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *