PUTRAJAYA, Kompleks baharu Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjadi kompleks antirasuah terbesar di dunia setakat ini, adalah perlambangan dan manisfestasi kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap merasmikan kompleks berkenaan hari ini, berkata ia juga bukti kerajaan sentiasa komited menyokong suruhanjaya itu dalam membanteras rasuah kerana ia adalah ancaman kepada ketamadunan dan masa depan negara.

Kompleks baharu itu dibina di atas tanah berkeluasan 2.07 hektar di Presint 7, di sini merangkumi tiga menara A,B dan C masing-masing setinggi 14,18 dan 22 tingkat serta mampu menempatkan kira-kira 1,800 kakitangan.

Dari segi aspek keselamatan, bangunan berkenaan dilengkapi 354 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang mengawasi persekitaran luar dan dalam bangunan.

Najib berkata, melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membanteras rasuah, antara yang dilaksanakan kerajaan ialah mewujudkan Unit Pematuhan yang akan memantau perilaku pegawai dalam agensi penguatkuasaan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM.

“Langkah lain ialah mempercepatkan perbicaraan kehakiman terhadap kes rasuah dengan menubuhkan 14 Mahkamah Khas Rasuah yang dikendalikan oleh hakim berpengalaman untuk memastikan kes dibicarakan dalam tempoh setahun.

“Membangunkan pangkalan data ‘Name and Shame’ dengan menyenaraikan pesalah rasuah yang telah didakwa dan boleh diakses orang ramai bukan saja untuk pengetahuan umum rakyat di negara ini tetapi juga negara seperti Amerika Syarikat sebagai salah satu kaedah untuk menyemak status pemohon yang ingin memohon visa pelancongan masuk ke negara mereka.

“Menghapuskan rasuah daripada perolehan kerajaan dan korporat menerusi pembangunan portal MyProcurement bagi meningkatkan ketelusan dalam proses perolehan kerajaan dan meningkatkan keyakinan dalam proses pemberian tender kerajaan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama Najib turut melancarkan Yayasan Prihatin SPRM dan mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM5 juta kepada yayasan itu yang ditubuhkan berteraskan kebajikan untuk membantu menampung kekurangan keperluan dan kewangan warganya serta ahli keluarga mereka.

Dana yayasan itu juga akan disalurkan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan kewangan dan sebagainya melalui program SPRM bersama masyarakat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *