KUALA LUMPUR, Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan membina kira-kira 500,000 unit rumah di kawasan kumbahan yang akan dibangunkan semula di seluruh negara antara lima hingga 10 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangunan semula kawasan itu mengambil kira banyak tanah yang tidak diguna pakai di kawasan kumbahan dan penggunaan teknologi baharu yang membolehkan kawasan kumbahan memerlukan tapak yang kecil sahaja.

Beliau berkata ia akan dilaksanakan menerusi kerjasama pintar antara Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dengan sebuah syarikat swasta.

Kerajaan, katanya, pada dasarnya bersetuju dengan pembangunan berkenaan dan ia akan diperincikan lagi sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Mungkin antara lima hingga 10 peratus daripada kawasan asal digunakan untuk kumbahan manakala selebihnya 90 hingga 95 peratus digunakan untuk membina rumah,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-20 SPNB dan majlis Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata sebelum ini kawasan kumbahan memerlukan kawasan yang besar tetapi dengan menggunakan teknologi baharu, kini hanya kawasan kecil sahaja diperlukan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Perumahan berkata pembangunan sedemikian kemungkinan boleh dilaksanakan terutamanya di kawasan-kawasan bandar yang menghadapi masalah kekurangan tanah untuk tujuan pembangunan.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan pengerusi SPNB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali berkata projek itu akan dilaksanakan di tanah-tanah yang tidak digunakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

“Dulu sistem IWK ini menggunakan banyak tanah untuk sistem kumbahan mereka tetapi sekarang ini IWK telah dipindahkan atau menggunakan sistem yang canggih yang hanya menggunakan keluasan tanah yang lebih kecil.

Jadi satu jawatankuasa telah dibentuk yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) dan jawatankuasa itu telah mengenal pasti dua lokasi yang mungkin boleh dibangunkan untuk projek itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita, Ahmad Azizi tidak mendedahkan lokasi terlibat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *