Share on Facebook

KENINGAU, Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengiktiraf kaum Murut sama seperti kaum bumiputera yang lain di Sabah, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Elron Alfred Angin.

Beliau berkata kerajaan memberi banyak perhatian kepada keperluan kaum Murut termasuk menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan dalam pelbagai sektor.

“Kejayaan demi kejayaan telah diraih kaum ini” bilangan graduannya semakin meningkat, (ramai) yang menyandang jawatan di peringkat pembuat keputusan, ahli perniagaan, politik serta golongan profesional.

“Seharusnya kita bersyukur kerana kerajaan sentiasa melihat perkembangan dan membantu bangsa ini pada waktu yang perlu,” katanya ketika berucap melancarkan buku DSP Ontoros @ Antenom, Pahlawan Terbilang Bangsa Murut di sini, hari ini.

Buku setebal 148 muka surat itu, yang mengisahkan perjuangan Pahlwan Ontoros menentang penjajah British di Rundum pada 1915, dihasilkan oleh pensyarah kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Dr Dayu Sansalau.

Elron yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sook berkata kemunduran kaum itu pada masa lalu perlu dijadikan iktibar untuk berjuang lebih gigih memperbaiki taraf hidup mereka.

“Perjuangan kita ialah bersatu untuk membantu sesama sendiri termasuk membantu pemimpin-pemimpin yang sedia ada supaya mereka dapat membantu kaum ini,” katanya.

Elron turut menegur generasi muda Murut yang semakin mengabaikan bahasa ibunda sehingga kian ramai yang tidak tahu berbahasa itu.

“Murut akan berhadapan dengan kehilangan bangsa jika bahasa mereka dilupakan. Bahasa ibunda bangsa ini merupakan elemen penting kepada identiti bangsa ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *